MERS: Menteri kesihatan Korea S minta maaf

MERS: Menteri kesihatan Korea S minta maaf

SEOUL, 31 Mei (AFP) – Menteri kesihatan Korea Selatan meminta maaf hari ini kerana gagal menghentikan wabak virus MERS, berikrar akan ‘berusaha sedaya upaya’ untuk mengawal penyebaran penyakit tatkala jumlah orang yang dijangkiti meningkat kepada15.

“Kami meminta maaf kerana menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai disebabkan penilaian awal kami mengenai jangkitan MERS,” beritahu Menteri Moon Hyung-Pyo kepada wartawan.

Moon menambah minggu ini akan menjadi ‘tempoh kritikal’ untuk membendung penyebaran MERS, atau Sindrom Pernafasan Timur Tengah, yang boleh menyebabkan gejala daripada sakit selesema dan sakit akibat pneumonia dan kerosakan buah pinggang.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk menghalang penyakit daripada merebak,” kata Moon, meminta orang awam supaya jangan panik.

Pegawai kesihatan telah dikecam kerana membenarkan seorang lelaki dijangkiti berkunjung ke China meskipun amaran daripada doktor.

Lelaki berusia 44 tahun itu mengadakan kunjungan perniagaan pada Selasa, sehari selepas bapanya didiagnosis dengan virus tersebut, dan disahkan pada Jumaat telah dijangkiti.

Lelaki itu berlepas ke Hong Kong sebelum mengadakan perjalanan bas ke bandar China Huizhou, di mana beliau sedang dirawat sekarang di bawah kuarantin.

Berpuluh orang – termasuk rakan sekerja dan penumpang yang duduk berhampirannya dalam penerbangan yang sama – telah atau dijangka diperiksa atau dikuarantin.

Wabak sekarang telah dijejak kepada seorang lelaki berusia 68 tahun yang didiagnosis pada 20 Mei selepas pulang daripada perjalanan ke Arab Saudi.

Seramai 14 orang lagi yang terkena virus tersebut adalah pesakit di hospital yang sama dengan lelaki itu, saudara-mara mereka atau kakitangan hospital yang mempunyai sentuhan dengan beliau.

Moon berkata hospital di mana wabak pertama dilaporkan telah ditutup dan semua pesakit dirawat dalam kuarantin, namun enggan mendedahkan nama atau lokasinya kerana bimbang ia akan mencetuskan panik.

ARTIKEL YANG SAMA