MERS: Pewaris Samsung minta maaf

MERS: Pewaris Samsung minta maaf

SEOUL, 23 Jun (AFP) – Pewaris syarikat gergasi Samsung, hari ini, tunduk meminta maaf berhubung salah sebuah hospital kemegahan kumpulan itu yang menjadi pusat wabak MERS tatkala Korea Selatan melaporkan tiga kes baru, tetapi tidak ada kematian tambahan.

Sekarang terdapat 175 kes sah dalam apa yang merupakan wabak terbesar di luar Arab Saudi. Pusat Perubatan Samsung di Seoul telah menyumbang kepada kira-kira separuh daripada kesemua kes di Korea Selatan.

“Pusat Perubatan Samsung gagal mengawal jangkitan dan penularan virus, mengakibatkan kesengsaraan dan kebimbangan kepada rakyat,” kata Jay Y. Lee, naib pengerusi Samsung Electronics.

“Saya meminta maaf, dengan menundukkan kepala saya,” kata beliau sebelum beliau tunduk di depan kamera TV dalam satu kenyataan maaf yang disiarkan secara langsung.

Beliau berjanji akan membaik pulih pusat perubatan tersebut. Kedudukannya sebagai salah sebuah hospital paling berprestij di negara itu telah dicemari teruk akibat wabak berkenaan.

Naib pengerusi Samsung Electronics, Jay Y.Lee membuat permohonan maaf berhubung penularan MERS di Seoul pada 23 Jun. – AFP
Naib pengerusi Samsung Electronics, Jay Y.Lee membuat permohonan maaf berhubung penularan MERS di Seoul pada 23 Jun. – AFP

Lee, yang mengetuai yayasan Samsung yang mengendali Pusat Perubatan Samsung, juga berjanji akan menyokong secara aktif penghasilan vaksin untuk virus MERS.

Bapa Lee dan pengasas Samsung Electronics, Lee Kun-Hee, telah menjadi lumpuh di hospital selama lebih setahun selepas beliau mengalami serangan jantung.

Menurut kementerian kesihatan Korea Selatan, dua daripada tiga pembawa baru mempunyai sentuhan dengan virus itu di dua hospital berlainan di Seoul, salah sebuahnya adalah Pusat Perubatan Samsung.

Kes ketiga adalah seorang ahli keluarga pesakit lain.

Dalam perkembangan berasingan, seorang wanita berusia 39 tahun yang telah dijangkiti virus itu dan sembuh melahirkan seorang anak damit di Pusat Perubatan Samsung hari ini, kata agensi berita Yonhap.

Daripada 175 kes yang disahkan, 27 telah meninggal dunia, 54 telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital dan 94 masih menerima rawatan, di mana 16 di antaranya menerima bantuan pernafasan.

Kira-kira 2,805 orang masih diletak di bawah kuarantin, berkurangan kira-kira satu perempat berbanding semalam.

Kes pertama didiagnosis di Korea Selatan pada 20 Mei.