MESB sumbang 500 naskhah buku Surah Yasin

MESB sumbang 500 naskhah buku Surah Yasin

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 Jan – Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd (MESB) telah mendermakan sebanyak 500 naskhah buku Surah Yasin kepada Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Belait sempena Sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Sumbangan telah diserahkan oleh Pengarah Urusan MESB, Haji Muhd Alfie bin Haji Omar kepada Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu pada majlis yang berlangsung di Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, pagi tadi.

Pengurus Korporat MESB, Lt Kol (B) Awang Ramli bin Abdul Hadis berkata, derma ini merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab korporat sosial MESB kepada masyarakat dan penduduk di Daerah Belait.

Haji Asminan dalam ucapannya telah melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak MESB yang telah baik hati menyumbangkan buku-buku tersebut kepada pihaknya dan memberitahu bahawa buku-buku berkenaan akan digunakan sebaiknya oleh Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.

Haji Muhd Alfie (kiri) menyerahkan sebuah naskhah buku Surah Yasin kepada ketua pegawai ugama pada majlis tersebut.
Haji Muhd Alfie (kiri) menyerahkan sebuah naskhah buku Surah Yasin kepada ketua pegawai ugama pada majlis tersebut.

Sementara itu, beberapa hari yang lalu, Syarikat MESB juga telah menyumbang beberapa unit penghawa dingin kepada Jabatan Daerah Belait yang diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohd Hasmiron bin Haji Mohd Taib.

MESB, yang ditubuhkan pada 1984 dan berpangkalan di Sungai Bera, Anduki, menyediakan perkhidmatan berkaitan pembinaan, yang baru-baru ini turut terlibat dalam pembinaan rumah-rumah di bawah Skim Perumahan Negara.

ARTIKEL YANG SAMA