Mesin ATM diletup, RM260,000 lesap

Mesin ATM diletup, RM260,000 lesap

DUNGUN, 5 Sept – Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini diletup awal pagi tadi dan wang kira-kira RM260,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi apabila dua suspek bertopeng dipercayai bertindak memecahkan mesin tersebut yang terletak berhampiran pintu utama bank itu.

Beliau berkata suspek didapati turut menggunakan kuku kambing sebelum memasukkan alat letupan ke dalam mesin berkenaan bagi melarikan wang tunai.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati dua lelaki bertopeng memasuki premis berkenaan serta memecahkan lapisan mesin ATM sebelum meletupkannnya.

“Sejurus alat penggera bank berkenaan berbunyi, unit kereta ronda sampai di lokasi, namun suspek telah melarikan diri,” katanya di tempat kejadian.

Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jalan Yahaya Ahmad cuba diletupkan penjenayah awal pagi kelmarin. Dalam kejadian 5.50 pagi itu penjenayah memecah dan meletupkan bilik yang menempatkan tiga mesin ATM dan dua mesin deposit tunai serta melarikan wang tunai kira-kira RM260,000. – Bernama

Ahmad Zailani berkata sebuah lagi mesin ATM di situ cuba turut dipecahkan, namun gagal.

Menurutnya, suspek mengambil masa kira-kira lima minit untuk melakukan kegiatan tersebut sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti bahan letupan yang digunakan bagi memecahkan mesin tersebut.

Beliau berkata gerakan memburu serta mengenal pasti suspek juga sedang giat dijalankan. – Bernama