Mesin deposit syiling pertama

Mesin deposit syiling pertama

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Negara Brunei Darussalam kini memiliki sebuah mesin deposit syiling yang ditempatkan di ruang legar, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive bermula Khamis lalu.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesin deposit syiling ini merupakan yang pertama pernah diperkenalkan di negara ini, bertujuan memberikan perkhidmatan pemulangan duit syiling ke AMBD.

Orang ramai dialu-alukan untuk menggunakan mesin ini bagi mengembalikan duit syiling Brunei Darussalam dalam denominasi 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Ia merupakan mesin deposit layan diri yang mudah dan ringkas tanpa sebarang caj perkhidmatan dikenakan.

Bagi menggunakan mesin deposit itu, orang ramai dikehendaki membawa salinan kad pengenalan dan salinan penyata bank/buku akaun semasa membuat transaksi bagi tujuan pengesahan diri dan pembayaran balik.

Mesin deposit syiling yang kini beroperasi di Bangunan Kementerian Kewangan.
Mesin deposit syiling yang kini beroperasi di Bangunan Kementerian Kewangan.

Tempoh pemprosesan adalah tujuh hari bekerja dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Mesin deposit itu beroperasi pada Isnin hingga Khamis bermula jam 8:30 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang, manakala Jumaat 8:30 hingga 10 pagi. Pada Sabtu, Ahad dan hari kelepasan awam, ia ditutup.

Menurut AMBD lagi, mesin deposit itu pada masa ini dalam tempoh percubaan. Bagi maklumat lanjut mengenainya, orang ramai bolehlah menghubungi Unit Pengurusan Mata wang di talian 2382186 atau melalui e-mel info@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA