Mesin judi bernilai ratusan ribu dirampas

Mesin judi bernilai ratusan ribu dirampas

MIRI, 2 Ogos – Polis merampas pelbagai peralatan komputer serta mesin digunakan untuk perjudian dalam talian bernilai lebih RM700,000 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini di Lawas, Limbang.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil daripada rampasan itu, 15 kertas siasatan telah dibuka ke atas kegiatan perjudian untuk tindakan undang-undang seterusnya.

“Kertas siasatan melibatkan kes perjudian telah diserah ke timbalan pendakwa raya di Miri untuk membolehkan proses pendakwaan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengenai dakwaan penyalahgunaan dadah semakin menular di sekolah-sekolah di Lawas, beliau berkata, polis narkotik Lawas telah menjalankan siasatan setelah dakwaan itu disebarkan di dalam media sosial.

“Setelah berjumpa dengan pihak sekolah-sekolah di Lawas untuk mengesahkan maklumat tersebut tetapi setakat ini tiada bukti dan maklumat yang sahih diterima,”katanya.

Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang meyebarkan berita palsu mengenai dakwaan penyalahgunaan dadah di sekolah kerana ianya boleh menjejaskan kredibiliti pendidikan negara.

“Orang ramai jangan mudah mempercayai tohmahan tersebut kerana ianya boleh mencemar institusi pendidikan,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, beliau berkata, masalah penyalahgunaan dadah di Lawas masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan. Beliau juga menafikan dakwaan penyeludupan dadah melalui sempadan adalah tidak benar. – Bernama