Mesin kiosk bayaran diperkenal

Mesin kiosk bayaran diperkenal

TAWAU, 16 Ogos – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) maju selangkah ke hadapan apabila mendahului pihak berkuasa tempatan lain di Sabah, kecuali Sandakan, apabila memperkenalkan mesin kiosk bayaran bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan MPT.

Presiden MPT, Alijus Sipil berkata antara perkhidmatan bayaran yang boleh dibuat menggunakan mesin kiosk berkenaan ialah pembayaran cukai pintu, pembaharuan lesen berniaga dan pembayaran lesen berjaja di pasar.

Menurut Alijus, mesin kiosk berkenaan ditempatkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 9 malam setiap hari mengikut waktu operasi UTC itu.

Katanya, kiosk berkenaan akan membolehkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran dengan MPT tanpa perlu beratur menunggu nombor giliran di kaunter pembayaran.

“Mesin ini mempunyai arahan yang ringkas, cepat dan mudah dengan resit bayaran dikeluarkan oleh mesin sebagai bukti. Mesin ini juga menerima wang tunai RM5, RM10, RM20, RM50, dan RM100,” katanya kepada pemberita di sini.

Alijus berkata, bagi pengguna yang terlebih bayar, jumlah akan disimpan di dalam akaun sebagai bayaran pendahuluan.

Sementara itu, Alijus berkata pihak MPT juga akan memasang sebuah mesin kiosk seumpama itu di pejabat MPT yang akan berfungsi 24 jam. – Bernama