Mesir berkas pegawai kanan Hamas

Mesir berkas pegawai kanan Hamas

KAHERAH, 19 Ogos – Mesir memberkas seorang pegawai kanan pergerakan Hamas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, menurut sumber-sumber keselamatan semalam, sehari selepas ia membuka semula pusat penyeberangan sempadan Rafah untuk membenarkan warga Palestin membuat perjalanan masuk dan keluar Semenanjung Gaza.

Hassan Asseify, timbalan menteri hal ehwal agama di Gaza yang diperintah Hamas, diberkas ketika dalam perjalanan pulang dari Arab Saudi untuk ke enklaf Palestin selepas unit keselamatan lapangan terbang Kaherah mendapati “ada isu-isu dalam hal berkaitan kelulusan bagi kemasukannya ke negara ini,” kata sumber keselamatan lapangan terbang.

Asseify akan tetap ditahan sehingga isu-isu berkenaan pendokumentasiannya diselesaikan, katanya.

Sumber keselamatan kedua pula berkata Asseify diberkas pada subuh hari Isnin lepas. Bagaimanapun jurucakap Hamas tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan mereka.

Mesir membuka pusat penyeberangan sempadan Rafah pada Isnin sehingga 20 Ogos untuk membolehkan warga Palestin membuat perjalanan masuk dan keluar Gaza, yang kini di bawah pengepungan oleh Israel.

Kaherah menutup pusat penyeberangan Rafah sejak bekas presiden Mesir digulingkan oleh tentera pada 2013, tetapi sekali-skala membukanya bagi tempoh yang singkat. – Reuters

Pusat penyeberangan sempadan Rafah yang dibuka semula mulai Isnin lepas sehingga 20 Ogos bagi membolehkan warga Palestin berulang alik ke Semenanjung Gaza. – AFP
Pusat penyeberangan sempadan Rafah yang dibuka semula mulai Isnin lepas sehingga 20 Ogos bagi membolehkan warga Palestin berulang alik ke Semenanjung Gaza. – AFP