Mesir lancar ‘Terusan Suez baru’

Mesir lancar ‘Terusan Suez baru’

KAHERAH, 4 Ogos (AFP) – Mesir hari ini melancarkan “Terusan Suez baru” yang membabitkan kerja-kerja mendalamkan lagi terusan lama serta laluan baru, ketika ia berusaha memantapkan lagi ekonomi Negara itu serta kedudukannya di arena antarabangsa.

Majlis itu yang dihadiri oleh para pembesar asing termasuk Presiden Perancis, Francois Hollande, dibuat hanya lebih dua tahun selepas Presiden Abdel Fattah al-Sisi, bekas ketua tentera, menyingkirkan bekas presiden Mohamed Morsi.

Sisi melakukan pecah tanah ke atas projek itu pada Ogos tahun lepas selepas memenangi pilihan raya presiden atas ikrar memperkukuhkan keselamatan dan memulihkan ekonomi negara tersebut.

Laluan air baru sepanjang 72 kilometer itu yang dibina tempoh kurang setahun membabitkan kos AS$9 bilion (7.9 bilion euro), terletak di lokasi bersebelahan dengan terusan sedia ada yang menghubungkan Laut Merah dan Mediterranean. Ia mampu mengurangkan tempoh menunggu bagi kapal-kapal dari 18 jam kepada hanya 11 jam.

Gambar fail bertarikh 29 Julai 2015 menunjukkan sebuah kapal menggunakan laluan air baru Terusan Suez di pelabuhan Ismailia di bahagian timur Kaherah di Mesir. – AFP
Gambar fail bertarikh 29 Julai 2015 menunjukkan sebuah kapal menggunakan laluan air baru Terusan Suez di pelabuhan Ismailia di bahagian timur Kaherah di Mesir. – AFP

Menjelang tahun 2023 jumlah kapal yang menggunakan terusan berkenaan akan meningkat kepada 97 peratus berbanding 49 peratus sekarang, menurut laman sesawang Pihak Berkuasa Terusan Suez.

“Ia menghantar mesej kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan berupaya melaksanakan sesuatu mengkut tempoh ditetapkan,” Amr Adly dari Pusat Carnegie Timur Tengah memberitahu AFP.