Mesir siasat kematian 2 rakyatnya di AS, UK

Mesir siasat kematian 2 rakyatnya di AS, UK

KAHERAH, 29 April – Pendakwa raya Mesir mengarahkan semalam untuk membuka siasatan bagi kematian dua warga Mesir di Amerika Syarikat dan United Kingdom baru-baru ini, dalam satu kenyataan daripada pejabat pendakwa raya.

Pendakwa Raya Nabil Sadeq mengarahkan pihak berkuasa Mesir untuk bertanggungjawab dalam menghubungi kedua-dua negara Barat itu dan mendapatkan salinan rasmi siasatan serta laporan forensik ke atas pembunuhan dua warga Mesir.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Mahmoud Roushdi dilaporkan hilang di Negeri Indiana pada 20 April 2016, dan mayatnya ditemui dalam tong sampah yang besar dengan tanda-tanda penyeksaan pada tubuhnya.

Mayat warga Mesir lain, Sherif Adel Habib Michael, 21, telah ditemui dalam sebuah kereta yang terbakar di sebuah garaj di South Hall, London. Beberapa media British berkata Michael telah diselamatkan dari garaj di London yang runtuh akibat kebakaran yang besar, tetapi beliau telah menghembuskan nafas terakhir di hospital berhampiran akibat lecur yang parah.

Mesir telah menghadapi kritikan Barat atas pembunuhan penyelidik Itali Giulio Regeni, yang diseksa, separuh bogel ditemui di tepi jalan di Kaherah sembilan hari selepas kehilangannya pada akhir Januari.

Kes Regeni telah memberikan bayangan buruk kepada hubungan Mesir-Itali apabila Itali dan beberapa negara-negara Barat yang lain, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom, membayangkan penglibatan polis Mesir dalam pembunuhan pelajar PhD yang berusia 28 tahun itu. – Xinhua