Meski sudah juara, MS ABDB tetap garang

Meski sudah juara, MS ABDB tetap garang

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – MS ABDB tidak bermain untuk sekadar melengkapkan jadual perlawanannya walau sudah mengesahkan kejuaraannya dalam Liga Super DST 2015 tetapi terus mengekalkan momentum kemenangannya apabila mencatat kemenangan ke-16 dari 17 perlawanan musim ini kelmarin, 4-1 ke atas Lun Bawang.

Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, MS ABDB mendahului 2-0 pada separuh masa pertama dengan kedua-dua gol disumbangkan oleh Soldadu Razimie bin Ramli masing-masing pada minit ke-26 dan ke-41.

Sebelas minit selepas rehat, Sarjan Adey Shariduan bin Haji Johari menambah jaringan buat MS ABDB mendahului 3-0 disusuli dengan jaringan penalti Soldadu Nazirul Hazim bin Haji Mahadin pada minit ke-67.

Dalam kegembiraannya membolosi gawang lawan buat kali keempat itu, para pemain MS ABDB buat pertama kalinya menjadi alpa dan kelemahan itu berjaya diambil peluang oleh Zaimi Awat untuk merobek gawang MS ABDB hanya seminit selepas jaringan keempat MS ABDB berkenaan.

MS ABDB (kuning) meneruskan momentum kemenangannya apabila mengalahkan Lun Bawang (biru) dengan jaringan 4-1, kelmarin.
MS ABDB (kuning) meneruskan momentum kemenangannya apabila mengalahkan Lun Bawang (biru) dengan jaringan 4-1, kelmarin.

Jaringan pada minit ke-68 itu ternyata menjadi gol terakhir perlawanan untuk kedudukan 4-1 menjadi keputusan muktamad perlawanan.

Dengan tambahan tiga mata itu, MS ABDB kini terus gah di puncak liga dengan 48 mata tanpa dapat digugat-gugat lagi, tiga belas mata di atas pencabar terdekatnya, Indera SC di tangga kedua yang masih perlu berjuang mendapatkan gelaran naib juara dengan Najip i-Team di tempat ketiga dengan 33 mata.

Lun Bawang pula kekal di tangga kelapan liga dengan 12 mata daripada sejumlah 17 permainan, hanya berbaki satu permainan lagi, masih belum selamat daripada penyingkiran memandangkan IKLS FC di bawahnya yang mengumpul sebanyak sembilan mata setakat ini masih berpeluang lagi memintasnya kerana masih memiliki baki sebanyak tiga perlawanan.