Messi, Bolt kirim ucapan ulang tahun kepada Totti

Messi, Bolt kirim ucapan ulang tahun kepada Totti

MILAN, 28 Sept – Pemain Barcelona Lionel Messi dan pelari pecut, Usain Bolt menyertai senarai bintang sukan global yang merakamkan ucapan ulang tahun kelahiran kepada legenda Roma, Francesco Totti.

Totti, yang membuat penampilan pertama bersama Roma pada Mac 1993 dan meledak jaringan ke-250 untuk kelab itu pada Ahad lalu meraikan ulang tahun kelahiran ke-40 hari ini.

Bintang Barcelona dan Argentina, Messi dalam satu video khas berkata: “Hi Francesco, Saya hanya mahu mengucapkan selamat hari lahir. “Saya harap anda menjalani hari yang indah.

Saya selalu mengagumi anda, terutama pada hari saya bertemu dengan anda. Satu pelukan yang hebat!” Totti, yang menghabiskan keseluruhan kerjayanya di Roma, memasuki tahun ke-25 dan mungkin musim terakhir bersama skuad ‘Giallorossi’ (merah dan kuning).

Walaupun lebih banyak memanaskan bangku simpanan sejak dua musim lalu, pemain yang menyarung jersi nombor 10 Roma itu dianggap sebagai pemain terhebat Itali oleh bekas rakan sepasukan Antonio Cassano.

Malah, dia masih mampu meledak gol dan banyak membantu melakukan umpanan berkesan untuk rakan sepasukan menghasilkan jaringan.

Bolt bertemu Totti tahun lalu dan, hari ini, manusia terpantas dunia berkenaan menghantar mesej khas dengan ucapan selamat hari lahir kepada bintang bola sepak itu di Youtube. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA