Messi buat penampilan ke-500

Messi buat penampilan ke-500

MADRID, 30 Dis – Lionel Messi akan membuat penampilan ke-500 bersama Barcelona ketika menentang Real Betis, awal pagi ini, dengan berita mengenainya mendominasi media di Sepanyol.

Kedua-dua akhbar terkemuka, Mundo Deportivo dan Sport menjadikan kejayaan bintang Argentina itu sebagai tajuk berita utama, menjelang pertembungan di Nou Camp itu.

Mundo Deportivo menggambarkan apa yang dicapai Messi sebagai ‘500 malam magis’ buat pemain paling prolifik dalam sejarah kelab berkenaan sambil menggunakan gambar pemain itu di muka depan memegang jersi peringatan istimewa.

Messi sudah meledak 424 gol bersama Barca, menjuarai tujuh gelaran La Liga dan empat kali Liga Juara-Juara, jadi bukanlah satu kejutan kedua-dua akhbar terbabit begitu mengutamakan pertembungannya menentang Betis.

Sport pula menggambarkan emosi Messi dengan menggunakan perkataan ‘dan mari kita berharap akan ada lebih banyak’ di dada akhbar terbabit.

Lionel Messi ketika menjulang Piala Dunia Kelab bersama Barcelona baru-baru ini. – Reuters
Lionel Messi ketika menjulang Piala Dunia Kelab bersama Barcelona baru-baru ini. – Reuters

Sepanjang bersama Barcelona, Messi sudah memenangi 26 kejuaraan trofi dan mereka berada di posisi terbaik untuk menambah jumlah itu beberapa bulan lagi.

Barcelona ketika ini menduduki tangga teratas La Liga dengan kelebihan satu perlawanan di belakang Atletico Madrid selain dijangka mampu menewaskan Arsenal pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Peluang untuk menjulang Piala Raja Sepanyol juga tidak mustahil dengan lawan yang bakal ditentang di peringkat 16 terakhir ialah kelab tetangga, Espanyol pada awal Januari ini.

Kelab gergasi itu ketika cuti musim sejuk dinobatkan anugerah Kelab Terbaik oleh Anugerah Bola Sepak Global 2015 di Dubai dengan Messi menerima anugerah Pemain Terbaik dengan bos kelab itu, Josep Maria Bartomeu dianugerahkan Presiden Terbaik. – Agensi