Messi galas tugas besar

Messi galas tugas besar

SANTIAGO, 30 Jun (Agensi) – Perebutan tempat ke pentas akhir Copa America semakin rancak dengan empat negara bakal berentap dalam perlawanan separuh akhir namun masih terdapat sedikit kekurangan apabila kejohanan ini kehilangan pasukan pilihan.

Argentina berjaya melepasi cabaran namun nasib tidak menyebelahi Brazil yang gagal mara setelah tewas kepada Paraguay dalam peringkat suku akhir, mengulangi kegagalan dalam Piala Dunia 2014 serta kejohanan berprestij Amerika Selatan itu empat tahun lalu.

Paraguay bukan pasukan asing untuk kejohanan ini. Mereka juga merupakan finalis empat tahun lalu sebelum tewas kepada Uruguay, dan kini dilihat mampu untuk melangkah ke final sekali lagi. Mereka bakal menentang Argentina pada Selasa ini manakala tuan rumah Chile bakal melayan Peru dalam satu lagi separuh akhir.

Bintang Argentina, Lionel Messi kini berada dalam tekanan apabila menjadi harapan untuk mengubah nasib skuad negaranya yang hingga kini masih belum menjulang trofi kejuaraan utama dalam tempoh 22 tahun selepas empat tahun lalu mereka tersingkir di suku akhir malah tewas kepada Jerman dalam final Piala Dunia 2014.

Lionel Messi (tengah) tiba di Hotel Radisson di Concepcion semalam untuk aksi separuh akhir menentang Paraguay esok. – Reuters
Lionel Messi (tengah) tiba di Hotel Radisson di Concepcion semalam untuk aksi separuh akhir menentang Paraguay esok. – Reuters

Sementara itu, situasi berbeza terhadap Paraguay apabila empat tahun lalu mereka melangkah ke pentas final tanpa memenangi walau satu perlawanan pun untuk hanya berbekalkan tiga kali seri di peringkat kumpulan dan kemudian dua lagi di suku akhir dan separuh akhir apabila nasib menyebelahi mereka dalam penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, tuan rumah Chile sudah pasti menaruh harapan tinggi untuk memenangi trofi Copa America yang tidak pernah mereka julang dan tahun ini dengan memiliki pemain terbaik serta dilabel sebagai ‘Generasi Emas’ dengan memiliki bintang Juventus, Arturo Vidal; penyerang Arsenal, Alexis Sanchez serta Claudio Bravo.