Messi hilang sabar

Messi hilang sabar

BARCELONA, 6 Ogos – Lionel Messi menjadi tumpuan atas tindakan kontroversinya ketika perlawanan persahabatan membabitkan Barcelona dan kelab Serie A Itali, AS Roma di Nou Camp, awal pagi tadi.

Barcelona mencatat kemenangan 3-0 pada perlawanan terbabit namun tindakan Messi yang menanduk pemain Roma, Mapou Yanga-Mbiwa sebelum mencekik leher pemain antarabangsa Perancis itu lebih mendapat tumpuan.

Dikenali sebagai pemain yang penyabar sekalipun sentiasa dijadikan sasaran kekasaran pemain lawan, pemain antarabangsa Argentina itu dilihat menuju ke atas Yanga-Mbiwa yang dilihat lebih awal mensasarkan kepalanya ke arah Messi.

Selepas kedua-duanya bertembung, Messi kemudian mencekik leher Yanga-Mbiwa sebelum pemain-pemain lain bergegas untuk meleraikan mereka.

Messi begitupun terlepas daripada dikenakan hukuman kad merah dan hanya diberi amaran kad kuning oleh pengadil, Javier Estrada Fernandez.

Messi (kanan) hilang sabar lalu mencekik leher Yanga-Mbiwa semasa aksi persahabatan di stadium Camp Nou Barcelona semalam. – AFP
Messi (kanan) hilang sabar lalu mencekik leher Yanga-Mbiwa semasa aksi persahabatan di stadium Camp Nou Barcelona semalam. – AFP

Yanga-Mbiwa juga dikenakan hukuman kad kuning. Kes pergaduhan membabitkan Messi amat kurang dan bintang Barca itu tidak pernah diarah keluar padang ketika beraksi bersama juara Sepanyol itu.

Kad merah pertama yang diterimanya adalah ketika penampilan sulung di pentas antarabangsa bersama Argentina pada 2005.

Gol-gol Barca dijaringkan Neymar dan Messi pada babak pertama sebelum Ivan Rakitic melengkapkan jumlah jaringan. Barcelona akan membuka kempen La Liga pada 23 Ogos ini bertemu Athletic Bilbao. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA