Messi impi tamat kerjaya di Argentina

Messi impi tamat kerjaya di Argentina

BARCELONA, 14 Jan (AFP) – Pemain Terbaik Dunia sebanyak lima kali, Lionel Messi memberi bayangan untuk mengakhiri karier di negara kelahirannya, Argentina.

Messi meninggalkan negaranya itu pada usia 13 tahun untuk menyertai Barcelona – tempat dia membesar dan muncul sebagai seorang pemain terhebat sepanjang zaman.

“Ia sentiasa menjadi impian saya (untuk bermain di Argentina) ketika saya masih kanak-kanak, sekalipun saya terpaksa berhijrah di usia yang sangat muda kerana situasi saya dan ia tidak berlaku,” kata Messi menerusi temuramah yang diterbitkan FIFA.com.

“Saya perlu pergi ke Eropah, bermula dengan Barcelona dan menjayakan kerja saya di sana namun saya gembira untuk kembali ke bola sepak Argentina satu hari nanti.”

Messi turut memiliki populariti bintang di negara kelahirannya sama seperti di Barcelona, sekalipun gagal menghadiahkan Argentina trofi kejuaraan utama yang kali terakhir diraih pada 23 tahun lalu.

Dia dilaporkan diludah oleh penyokong kelab bola sepak Argentina, River Plate di lapangan terbang Tokyo, bulan lalu selepas kemenangan 3-0 Barca pada kejohanan Piala Dunia Kelab.

Messi meledak jaringan pembukaan Barca pada perlawanan itu namun tidak meraikannya.

“Saya tahu berapa banyak usaha yang peminat itu lakukan untuk kunjungan itu, betapa terujanya mereka

“Dan di sana ada saya, seorang rakyat Argentina, menjaringkan gol pertama dan memusnahkan segala-galanya untuk mereka. Saya tidak tahu jika saya meminta maaf, namun ia adalah satu bentuk permohonan maaf.”

Tewas pada dua aksi final Piala Dunia dan Copa Amerika sejak dua tahun lalu, Messi begitupun yakin akan mengakhiri penantian Argentina di Copa Amerika yang dijadualkan di Amerika Syarikat pada musim panas ini.