Messi ingin jumpa Murtaza

Messi ingin jumpa Murtaza

KABUL, 2 Feb – Bintang Barcelona, Lionel Messi, berharap dapat mengatur pertemuan dengan budak lelaki Afghanistan yang menjadi popular selepas gambarnya memakai jersi beg plastik menjadi viral, kata Persekutuan Bola Sepak Kabul, hari ini.

Murtaza Ahmadi, 5, menjadikan pemain Argentina itu sebagai idolanya tetapi untuk memiliki jersi pemain pujaannya itu bukan mudah direalisasikan kerana kemiskinan keluarganya yang tinggal di daerah Ghazni berdekatan Kabul.

Abangnya, Homayoun, 15, mengubahsuai plastik berjalur putih biru sebagai jersi dan menulis nama Messi menggunakan pen sebelum memuatnaik gambar Murtaza menyarung ‘jersi’ berkenaan di laman Facebook pertengahan bulan lalu.

Bapa Messi, Jorge Messi berkata, anaknya itu turut pernah melihat gambar berkenaan dan berhasrat melakukan sesuatu buat peminat mudanya itu.

Persekutuan Bolasepak Afghanistan (AFF) berkata, Messi teringin bertemu Murtaza secepat mungkin walaupun masih belum ada sebarang tarikh atau tempat ditetapkan.

Murtaza Ahmadi ketika bermain bola sepak di Kabul. Bintang Barcelona, Lionel Messi berharap untuk mengatur pertemuan dengannya yang mula terkenal selepas gambar-gambar beliau berpakaian berjalur jersi beg plastik mula menjadi viral. – AFP
Murtaza Ahmadi ketika bermain bola sepak di Kabul. Bintang Barcelona, Lionel Messi berharap untuk mengatur pertemuan dengannya yang mula terkenal selepas gambar-gambar beliau berpakaian berjalur jersi beg plastik mula menjadi viral. – AFP

“Messi sudah menghubungi persekutuan untuk menetapkan tarikh pertemuannya dengan kanak-kanak itu,” kata jurucakap AFF Sayed Ali Kazemi.

“Kami sedang berusaha dan menunggu sama ada Messi mahu hadir ke Afghanistan atau kanak-kanak itu berlepas ke Sepanyol untuk bertemunya atau di negara berkecuali.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA