Messi julang Barca

Messi julang Barca

BARCELONA, 22 Sept (Reuters) – Biarpun hanya menyempurnakan satu daripada dua sepakan penalti, namun itu tidak menghalang penyerang sensasi Barcelona, Lionel Messi untuk meledak dua gol dan membantu pasukannya menewaskan Levante 4-1 dalam saingan La Liga, semalam.

Juara treble musim lalu kini mendahului carta Liga Sepanyol dengan mengutip 12 mata maksimum, meninggalkan tiga pencabar terdekat, termasuk Real Madrid yang hanya mengutip 10 mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Barca terpaksa menanti sehingga babak kedua untuk berada di depan apabila pertahanan, Marc Bartra menjaringkan gol berpunca daripada hantaran lintang Messi pada minit ke-50 selepas mereka dikawal baik oleh Levante pada separuh masa pertama.

Setelah berjaya memecah kebuntuan, Barca terus rakus untuk merobek gawang lawan dan penyudah klinikal Neymar pada minit ke-55 serta sepakan penalti Messi selang enam minit kemudian berjaya mengukuhkan kedudukan kelab Catalan itu.

Levante bagaimanapun berjaya merapatkan jurang 1-3 menerusi Victor Casadesus yang menghukum kesilapan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen pada minit ke-65.

Pemain Barca meraikan jaringan Lionel Messi (tengah) semasa menentang Levante di Camp Nou kelmarin. – AFP
Pemain Barca meraikan jaringan Lionel Messi (tengah) semasa menentang Levante di Camp Nou kelmarin. – AFP

Biarpun gagal menyempurnakan penalti kedua selepas tendangannya melewati palang, namun Messi menebus kekecewaan dengan meledak gol keempat Barcelona pada minit ke-90.

“Walaupun saya suka bertahan, namun saya tetap memberikan yang terbaik kepada pasukan untuk menghasilkan jaringan.

“Jika saya berada di bahagian serangan dan menjaringkan gol ia juga membantu pasukan secara keseluruhan,” kata pertahanan Barcelona, Bartra.

Sementara itu, pemain remaja, Sandro Ramirez serta Munir El Haddadi diberipeluang oleh jurulatih, Luis Enrique untuk beraksi di bahagian serangan Barca selepas Luis Suarez dan Andres Iniesta direhatkan.

Dalam satu lagi perlawanan, jaringan Nolito dan Daniel Wass membantu Celta Vigo mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sevilla.

ARTIKEL YANG SAMA