Messi kembali beraksi

Messi kembali beraksi

MADRID, 14 Okt – Kepedihan dialami Argentina menjadi keuntungan buat Barcelona apabila Lionel Messi kembali bersama pasukan juara Sepanyol itu apabila Deportivo la Coruna berkunjung ke Camp Nou esok selepas diketepikan tiga minggu kerana kecederaan pangkal paha.

Messi terlepas aksi bersama Argentina dalam kelayakan Piala Dunia berdepan Peru dan Paraguay tatkala La Albiceleste bergelut tanpa kelibat Pemain Terbaik Dunia lima kali itu, sekali gus meletakkan risiko besar buat mereka mencari slot ke Piala Dunia 2018.

Namun, rehat bagi saingan antarabangsa secara tradisinya turut menjadi punca kepada prestasi tidak menentu Barca apabila kembali kepada saingan La Liga yang dikenali sebagai ‘virus FIFA’.

Pengurus Barca, Luis Enrique, menanggung beban apabila membiarkan Messi dan Luis Suarez di bangku simpanan ketika kelab berkenaan tewas mengejut 1-2 di tangan Alaves di halaman sendiri, September lalu.

Bagaimanapun, pertembungan tumpuan Liga Juara-Juara dengan bekas jurulatih Barca, Pep Guardiola yang membawa Manchester City ke laman mereka Rabu ini, Enrique mungkin boleh melakukan percaturan dengan pilihan pemainnya sekali lagi.

Messi dijangka bakal kembali diturunkan sebagai pemain gantian di babak kedua manakala Suarez mungkin boleh memberi laluan kepada Paco Alcacer, selepas dua kali beraksi bersama Uruguay sebelum ini.

Neymar sudah pasti diturunkan dalam kesebelasan utama apabila pulang lebih awal ke kota Catalan itu selepas digantung ketika Brazil mencatat kemenangan 2-0 ke atas Venezuela, Selasa lalu.

Untuk rekod, tewas 3-4 di tangan Celta Vigo dua minggu lalu menyebabkan Barca ketika ini berada di tangga keempat carta liga. Bagaimanapun, mereka masih mengekori rapat pendahulu Atletico Madrid dan Real Madrid dengan hanya ketinggalan dua mata. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA