Messi lancar protes, boikot media

Messi lancar protes, boikot media

SAN JUAN, Argentina, 16 Nov – Lionel Messi mengumumkan untuk memboikot akhbar sebagai memprotes seorang wartawan yang mendakwa rakan sepasukannya Ezequiel Lavezzi menghisap marijuana di pangkalan latihan Argentina.

Berdiri di hadapan semua pemain Argentina pada sidang media selepas pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 terhadap Colombia, Messi berkata, pemain itu tidak akan lagi bercakap kepada media susulan kontroversi terbabit.

“Kami sudah membuat keputusan tidak akan bercakap kepada media lagi, anda sudah tentu tahu kenapa,” kata kapten Argentina itu.

“Terdapat banyak tuduhan, tidak menghormati dan tuduhan dibuat terhadap ‘Pocho’ (Lavezzi) adalah sangat serius,” kata bintang Barcelona itu.

Messi, yang menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menakjubkan dan menjadi pengatur dua lagi gol kemenangan Argentina, berkata pasukan itu gembira menerima kritikan persembahan mereka selepas menjelaskan mengenai kempen boikot terbabit.

Reaksi Messi semasa aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia di San Juan, Argentina kelmarin. – AFP
Reaksi Messi semasa aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia di San Juan, Argentina kelmarin. – AFP

“Kami tahu sebahagian daripada kamu tidak bermain dan kamu tidak menghormatinya. Kami boleh dikutuk jika kami kalah ataupun menang, atau jika kami bermain baik dan teruk.

“Tetapi ini sudah menyentuh soal peribadi. Jika kita tidak menyelesaikan masalah itu sekarang, ia tidak akan berhenti,” kata Messi.

Lavezzi, yang bermain untuk Hebei China Fortune FC, dituduh oleh seorang wartawan radio menerusi laman Twitter menghisap marijuana di dalam kem latihan pasukan.

Lavezzi menafikan dakwaan itu dan berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan terbabit kerana ‘kenyataan palsu terhadapnya dan kerosakan serius yang terkesan kepada keluarga dan kerjaya’.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak memainkan peranan ketika tewas 3-0 kepada Brazil Khamis lalu dan dan meninggalkan bangku simpanan pada aksi bertemu Colombia petang semalam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA