Messi lepasi gol ke-300, Barcelona lebarkan jurang

Messi lepasi gol ke-300, Barcelona lebarkan jurang

MADRID, 18 Feb (AFP) – Lionel Messi melepasi angka 300 jaringan La liga ketika Barcelona mengungguli puncak liga dengan kelebihan enam mata selepas menundukkan Sporting Gijon 3-1.

Pemain terbaik dunia lima kali itu meledak dua gol pada separuh masa pertama dengan Carlos Castro turut muncul penjaring buat Gijon yang menyaksikan tiga gol dijaringkan dalam tempoh lima minit.

Luis Suarez gagal menyempurnakan sepakan penalti, namun dia menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga buat Barcelona.

“Kami berada di mana kami mahu berada dan semuanya bergantung kepada kami,” kata pengurus Barcelona, Luis Enrique.

“Saya melihat kami mengawal permainan dan mencipta banyak peluang meskipun berdepan sedikit masalah apabila menentang pasukan yang lebih gemar untuk bertahan.”

Messi meraikan jaringan semasa menentang Sporting Gijon dalam aksi La Liga di stadium El Molinon, kelmarin. – Reuters
Messi meraikan jaringan semasa menentang Sporting Gijon dalam aksi La Liga di stadium El Molinon, kelmarin. – Reuters

Meskipun mendominasi permainan, namun pasukan tuan rumah terlebih dulu beroleh peluang, namun hantaran daripada pemain pinjaman Barcelona, Alen Halilovic gagal disempurnakan dengan baik oleh Alex Menendez sebelum Suarez nyaris membuka jaringan tetapi rembatannya tepat menuju ke penjaga gol Gijon, Ivan Cuellar.

Messi akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-25 sekali gus menjadi pemain pertama yang menjaringkan 300 gol dalam saingan La Liga namun kelebihan itu hanya bertahan dua minit apabila serangan balas pantas daripada Gijon berjaya disudahkan Castro untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tersentak dengan gol penyamaan, Barcelona menggandakan asakan dan kembali di hadapan selepas Messi sekali lagi meledak gol keduanya dalam perlawanan terbabit selepas menerima hantaran daripada Suarez.

Barca kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti selepas Cuellar menjatuhkan Neymar dalam kotak penalti, namun sepakan Suarez berjaya diselamatkan Cuellar sekali gus mencatat kegagalan menjaringkan lapan daripada 16 sepakan penalti musim ini.

Namun, penyerang Uruguay itu menebus kesilapannya pada minit ke-63 untuk gol peribadi ke-40 musim ini dan kemenangan ini membolehkan Barcelona merakam rekod 31 perlawanan tanpa kalah.

ARTIKEL YANG SAMA