Messi lonjak Argentina

Messi lonjak Argentina

CORDOBA, Argentina, 30 Mac (Reuters) – Lionel Messi menjaringkan gol antarabangsa ke-50 untuk membantu Argentina menewaskan Bolivia 2-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018, sebentar tadi.

Kemenangan itu meletakkan Argentina di kedudukan ketiga dalam kumpulan Amerika Selatan dengan 11 mata daripada enam perlawanan, dua mata di belakang pendahulu bersama Ecuador dan Uruguay.

Ecuador mengalami kekalahan pertama mereka dalam kumpulan itu selepas tunduk 1-3 di Colombia, manakala Uruguay meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Peru.

Pemain pertahanan Argentina Gabriel Mercado, yang menjaringkan gol kemenangan ketika mereka menewaskan Chile 2-1 Khamis lalu membuka tirai jaringan pada minit ke-21 berdepan Bolivia.

Argentina dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-29 selepas Ronald Eguino mengasari pemain tengah Ever Banega, dan Messi tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol ke-50 buat Argentina sekali gus meletakkannya ketinggalan enam gol dari rekod Gabriel Batistuta.

Aksi Messi dan Fernando Saucedo ketika bersaing dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Cordoba, Argentina. Messi menjaringkan gol antarabangsa ke-50 untuk membantu Argentina menewaskan Bolivia 2-0 sebentar tadi. – AFP
Aksi Messi dan Fernando Saucedo ketika bersaing dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Cordoba, Argentina. Messi menjaringkan gol antarabangsa ke-50 untuk membantu Argentina menewaskan Bolivia 2-0 sebentar tadi. – AFP

“Ia adalah asas untuk mendapatkan enam mata,” kata jurulatih Argentina, Gerardo Martino kepada TYC Sports hasil dari dua kemenangan.

“Saya fikir kami bermain perlawanan yang getir dan memenanginya dengan baik.”

Messi, sementara itu, berkata permainan Argentina telah dihalang oleh keadaan permukaan yang lemah di Stadium Mario Kempes, yang telah menjadi tuan rumah konsert rock baru-baru ini.

“Kami cuba untuk bermain dalam permainan kami tetapi permukaan tidak membantu, walaupun itu bukan satu alasan,” katanya.

Jurulatih Argentina, Gerardo Martino – yang menghadapi panggilan untuk berhenti selepas kekalahan Copa America tahun lalu – berkata, pasukannya akan memulakan baki kelayakan mereka dengan penuh keyakinan.

“Kemenangan ketiga berturut-turut memberikan kita ketenangan. Kami berada dalam kedudukan yang baik,” kata Martino.