Messi mahu 600,000 pound seminggu

Messi mahu 600,000 pound seminggu

LONDON, 17 Nov (Agensi) – Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi terbuka dengan tawaran untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, namun dengan satu syarat – ditawarkan gaji lumayan 600,000 pound seminggu.

Bintang penyerang Argentina itu kini mula mempertimbangkan mengenai peluang untuk berpindah ke England selepas terus berdepan masalah dengan pihak berkuasa Sepanyol mengenai cukai.

Bagaimanapun, gaji tinggi yang dituntut oleh pemain berusia 28 tahun itu bermakna hanya kelab yang memiliki bajet besar seperti Manchester City, Chelsea, Manchester United dan Arsenal mampu mendapatkan sentuhannya.

Menurut akhbar Britain, Daily Star, Messi berminat untuk menyertai kelab London, Arsenal sekiranya dia memutuskan untuk meninggalkan Barcelona, kelab yang diwakili sejak kanak-kanak.

Namun, untuk memastikan perpindahan itu menjadi kenyataan, dia perlu mengikat perjanjian bernilai 18 juta pound setahun tidak termasuk cukai, dan ia bersamaan dengan 600,000 pound seminggu sebelum dipotong.

Lionel Messi. – Reuters
Lionel Messi. – Reuters

Ketika ini, Messi menerima gaji bersih 14 juta pound setahun daripada Barcelona, namun klausa jual-beli bintang Argentina itu mampu mencecah 175 juta pound.

Messi menyertai Barcelona pada 2001, dan sebelum ini dia pernah menyuarakan hasrat untuk bersara di kelab Catalan itu.

Bagaimanapun, sepanjang di Sepanyol dia sering diganggu oleh pihak berkuasa tempatan dan didakwa atas kesalahan memalsukan cukai bernilai 3 juta pound yang diuruskan oleh bapanya, Jorge.

Gangguan berterusan itu menyebabkan ‘rasa cinta’

Messi kepada Sepanyol semakin berkurangan, malah bulan lalu hakim mengarahkan Messi dan bapanya menghadiri perbicaraan berhubung dakwaan memalsukan cukai.

Pendakwaraya menuduh, Jorge mengelak daripada membayar cukai pendapatan anaknya dengan menggunakan sebuah syarikat pelantar minyak di Belize dan Uruguay dari 2007 hingga 2009.

ARTIKEL YANG SAMA