Messi masih berbisa

Messi masih berbisa

MENDOZA, Argentina, 2 Sept – Lionel Messi menunjukkan kemampuannya dalam aksi kembali di pentas antarabangsa apabila membantu menjaringkan gol tunggal Argentina untuk menewaskan Uruguay dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018, kelmarin.

Messi yang mengumumkan persaraan dramatik selepas final Copa America Centenario, yang menyaksikan Argentina tewas kepada Chile, menjaringkan gol menerusi sepakan minit ke-42 untuk menceriakan penyokong mereka di Estadio Malvinas Mendoza.

Kejayaan itu adalah yang pertama di bawah jurulatih baharu pasukan, Edgardo Bauza, sekali gus meletakkan Argentina di tempat pertama kempen kelayakan Amerika Selatan menerusi himpunan 14 mata selepas tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, Argentina terpaksa berhempas pulas untuk mencipta kejayaan apabila beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua selepas penyerang muda Juventus, Paulo Dybala dibuang padang. Dybala meninggalkan padang dengan tangisan selepas menerima layangan kad kuning kedua.

Uruguay menurunkan barisan pemain yang kuat, dengan rakan pasukan Messi di Barcelona, Luis Suarez mengetuai barisan serangan pasukan pelawat di samping Edinson Cavani.

Lionel Messi ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP
Lionel Messi ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP

Kapten Diego Godin juga kembali bersama pertahanan Uruguay untuk memberikan juara Piala Dunia dua kali itu keyakinan yang kukuh. Namun dengan kepulangan Messi, Argentina menikmati separuh pembukaan yang lebih baik.

Angel Di Maria mencipta peluang pertama selepas 32 minit, memenangi bola di bahagian tengah sebelum Dybala maju ke depan. Rembatan pemain berusia 22 tahun itu terbang rendah terkena kaki tiang gol sehingga usaha penjaga gol Uruguay Fernando Muslera memberikan tendangan sudut kepada Argentina.

Peluang Uruguay hadir pada minit ke-34 apabila sepakan percuma Suarez menewaskan benteng lawan tetapi berjaya diselamatkan Sergio Romero.

Dengan separuh masa hampir tamat Messi menerkam ke arah tepi kawasan dan rembatannya terpesong selepas terkena Jose Gimenez sekali gus memperdayakan Muslera di depan gol. – AFP