Messi oh Messi

Messi oh Messi

LA SERENA, Chile, 19 Jun (AFP) – Lionel Messi akan beraksi untuk perlawanan ke-100 buat dirinya bersama Argentina apabila turun menentang Jamaica, esok pada temasya Copa America, namun ia menjadi satu abad diingati dengan banyak linangan air mata serta tanpa kejuaraan.

“Saya gembira dapat mencapai rekod ini. Saya berharap akan dapat meraikan satu lagi kejayaan dan tentunya dengan julangan piala kejuaraan Copa America,” kata penyerang Barcelona itu menerusi temubual yang disiarkan akhbar Argentina, La Nacion, semalam.

Messi, Sergio Aguero dan Carlos Tevez bersama skuad Argentina dihantar menyeberangi Banjaran Andes untuk memburu misi mengakhiri kemarau selama 22 tahun tanpa kejuaraan utama sejak negara itu memenangi Copa America pada tahun 1993.

Persembahan luar biasa ketika menentang Hungary pada 17 Ogos 2005, menjadi pentas kepada permulaan kerjaya antarabangsa Messi.

Namun ia berbeza sekali dengan jumlah kejayaan yang dikecapinya sebagai pemain Barcelona yang menyaksikan dia memenangi empat Anugerah Pemain Terbaik Dunia, empat kejuaraan Liga Juara-Juara, tujuh kejuaraan liga Sepanyol dan tiga Copa del Rey, tetapi masih menunggu pengiktirafan untuk gelaran dunia.

Lionel Messi (tengah) cuba mengatasi halangan dari penjaga gol Paraguay, Antony Silva (kiri) dan Victor Caceres (kanan) dalam aksi Copa America di La Serena 13 Jun lalu. – AFP
Lionel Messi (tengah) cuba mengatasi halangan dari penjaga gol Paraguay, Antony Silva (kiri) dan Victor Caceres (kanan) dalam aksi Copa America di La Serena 13 Jun lalu. – AFP

Pada usia 18 tahun, Messi tampil sebagai pemain gantian untuk aksi separuh masa kedua ketika menentang Hungary.

Namun tidak lama selepas itu, dia dibuang padang gara-gara menerima kad merah kerana menyiku pertahanan, Vilmos Vanczak.

Rakan sepasukannya yang memasuki bilik persalinan sebaik aksi berakhir, mendapati pemain itu menangis pada satu sudut, mengikut laporan media Argentina ketika itu.

Sejak dari itu, dalam 99 aksi bersama pasukan Argentina, Messi berjaya menghasilkan 46 gol yang dianggap menakjubkan. Namun ia jauh berbeza dengan rekod jaringannya bersama Barcelona iaitu 412 gol daripada 482 perlawanan.

Begitupun, dia dilihat bakal mengatasi rekod Javer Zanetti dengan mewakili negara sebanyak 145 kali, selain menewaskan jumlah jaringan dicatatkan Gabriel Batistuta iaitu sebanyak 56 gol.

Messi memenangi Piala Dunia Bawah 20 tahun pada 2005 dan emas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, namun belum ada kejuaraan Piala Dunia setakat ini. Dia seorang daripada pemain Argentina yang tewas kepada Brazil pada pada final Copa America di Venezuela pada 2007, selain kepada Uruguay pada suku akhir ketika temasya itu berlangsung di tanah airnya sendiri pada 2011.

Dan lebih lagi saat mengecewakan pada saingan Piala Dunia. Pada tahun 2006, Messi menjaringkan gol pertamanya pada temasya berkenaan ketika membenamkan Serbia dan Montenegro. Namun mereka tewas kepada Jerman menerusi penalti pada peringkat suku akhir. Pada 2010, bersama Diego Maradona selaku jurulatih, Argentina adalah antara pasukan pilihan, namun mereka tewas lagi, sekali kepada Jerman di peringkat sama. Dan tangisan Messi berterusan lagi pada tahun lalu ketika Brazil menjadi tuan rumah meskipun menjaringkan empat gol untuk membantu pasukannya layak ke final di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.

Ketika kejuaraan semakin hampir, Messi menyaksikan Mario Goetze menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-113 untuk sekali gus memblehkan Jerman memusnahkan lagi impiannya. Messi sedar, dia boleh menjadi pemain paling bagus dan pintar tanpa mampu dikekang benteng lawan, namun dia tidak akan berupaya mengatasi Maradona sebagai legenda Argentina sehingga berjaya memenangi kejuaraan untuk negaranya itu.

“Mewakili Argentina sebanyak 99 kali adalah \ʼsatu pengalaman menakjubkan’ tetapi kurang bernasib baik kerana belum ada kejuaraan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA