Messi pamer aksi magis

Messi pamer aksi magis

MONTEVIDEO, 16 Nov – Lionel Messi menghasilkan persembahan magis untuk mengembalikan Argentina ke landasan kelayakan Piala Dunia dalam perlawanan awal pagi tadi.

Messi membuka jaringan melalui sepakan percuma dari jarak 30 ela dan memberi umpanan bagi gol Lucas Pratto dan Angel Di Maria dalam kemenangan 3-0 ke atas Colombia di San Juan.

Kemenangan tersebut menaikkan Argentina ke tempat kelima kumpulan kelayakan selepas beberapa perlawanan yang memperlihatkan mereka hanya mengutip dua mata dari empat perlawanan mereka sebelum ini.

Namun kemenangan tersebut dibayangi oleh boikot media yang diumumkan oleh Messi dan rakan sepasukannya selepas wisel penamat.

Messi mengatakan para pemain Argentina berang akan tuduhan dibuat oleh wartawan Argentina yang mengatakan Ezequiel Lavezzi didapati menghisap marijuana di kem latihan.

Lionel Messi ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP
Lionel Messi ketika beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP

Lavezzi yang tidak disenaraikan dalam barisan pemain simpanan ketika perlawanan itu, menafikan dakwaan tersebut.

“Kami telah membuat keputusan untuk tidak bercakap dengan pihak media lagi, sudah tentu anda tahu kenapa,” ujar Messi, yang sering mempunyai hubungan tegang bersama media Argentina.

“Terdapat begitu banyak tuduhan, banyak rasa tidak hormat dan tuduhan-tuduhan mereka buat terhadap ‘Pocho’ (Lavezzi) begitu serius.

“Kami tahu kebanyakan anda tidak memainkan permainan tidak hormat. Kita boleh mengkritik jika tewas atau menang atau jika kami bermain baik atau buruk. Namun ini lebih kepada kehidupan peribadi seseorang. Jika kami tidak menghentikannya sekarang, kami tidak akan mampu menghentikannya.”

Kemenangan itu menempatkan Argentina di tangga kelima dalam kedudukan 10 pasukan, dengan 19 mata dari 12 perlawanan. Empat pasukan terbaik akan secara automatik layak bagi kejohanan akhir 2018 sementara pasukan tempat kelima akan meneruskan pusingan play-off bersama pasukan tempat pertama zon Oceania. – AFP