Messi penyerang terbaik

Messi penyerang terbaik

MADRID, 1 Dis (AFP) – Bintang Barcelona, Lionel Messi dinobatkan sebagai penyerang terbaik La Liga Sepanyol mengatasi pencabar utamanya dari Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Ini kali keenam penyerang kelahiran Argentina itu memenangi gelaran sama sejak tujuh edisi La Liga sebelum ini dengan anugerah disampaikan dalam satu majlis di Barcelona.

Messi yang meledak 43 gol sepanjang musim lalu sekali gus menghadiahkan Barcelona tiga trofi kejuaraan musim lalu iaitu Liga Juara-Juara, La Liga dan Piala Raja Sepanyol dipilih melalui analisis komputer terhadap pemain sepanjang kejuaraan.

“Saya berbangga memenangi anugerah ini mengatasi begitu ramai pemain penting dalam La Liga,” kata Messi.

“Saya mahu dedikasikan anugerah ini kepada anak lelaki saya, Thiago (tiga tahun) sekali pun dia tidak begitu memahaminya.

Lionel Messi selepas dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik La Liga mengatasi pencabar utamanya Cristiano Ronaldo. – AFP
Lionel Messi selepas dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik La Liga mengatasi pencabar utamanya Cristiano Ronaldo. – AFP

“Setiap kali saya meninggalkan rumah, dia akan marah dan bertanya kepada saya; “Papa, adakah kamu akan terus menjaringkan gol?

“Anugerah ini adalah untuknya.”

Messi dalam pada itu turut diundi sebagai penyerang terbaik menerusi undian yang dibuat setiap kapten pasukan yang beraksi dalam saingan elit bola sepak Sepanyol.

Rakan sepasukannya, Claudio Bravo diundi penjaga gol terbaik manakala pengurus Barca, Luis Enrique sebagai jurulatih terbaik.

Dua pemain Real, Sergio Ramos dan James Rodriguez, masing-masing memenangi anugerah pemain pertahanan dan tengah terbaik.

Pemain Valencia kelahiran Algeria, Sofiane Feghouli dinamakan pemain dari Afrika Terbaik dengan Neymar menggondol anugerah pemain terbaik dari benua Amerika.

Ronaldo yang menjaringkan gol terbanyak dalam kempen La Liga musim lalu dengan 48 gol tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima anugerah pilihan orang ramai.

Messi, Ronaldo dan Neymar dinamakan tiga calon akhir bagi Anugerah Pemain Tahunan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau Ballon d’Or, malam tadi dengan pemenangnya akan diketahui pada 11 Januari.

ARTIKEL YANG SAMA