Messi sasar 500 gol kerjaya

Messi sasar 500 gol kerjaya

MADRID, 15 Jan (AFP) – Dengan anugerah kelima pemain tahunan dunia selamat diletakkan dalam kabinet trofi, Lionel Messi boleh menumpukan kepada salah satu kejayaan seterusnya dalam kerjaya yang luar biasa: mencapai 500 gol bagi kelab itu dan negaranya.

Barcelona dan penyerang Argentina itu boleh menambah jumlah 479 jaringan dalam 609 perlawanan rasmi – 430 bagi Barca dan 49 bagi pasukan kebangsaannya – dalam perlawanan La Liga Ahad ini di laman sendiri menentang Athletic Bilbao.

Pemain berusia 28 tahun dari Rosario, yang menjulang anugerah FIFA Ballon d’Or Isnin lalu, menyaksikan permainan terbaiknya berikutan rehat selama dua bulan lewat tahun lepas dan menjaringkan hatrik apabila Barca yang berada di tangga kedua membenam Granada 4-0 di Nou Camp hujung minggu lalu dalam perlawanan kedudukan teratas Sepanyol.

Dia mencatatkan sembilan gol dalam 13 perlawanan La Liga musim ini, enam jaringan di belakang pemain utama dan rakan sepasukan Barca, Neymar dan Luis Suarez, yang masing-masing mencatatkan 15 dalam 16 dan 17 kemunculan.

Lionel Messi (kanan) bersaing dengan pemain Espanyol, Joan Jordan Moreno (kiri) dalam aksi Copa del Rey di stadium Cornella-El Prat, 13 Januari lalu. – AFP
Lionel Messi (kanan) bersaing dengan pemain Espanyol, Joan Jordan Moreno (kiri) dalam aksi Copa del Rey di stadium Cornella-El Prat, 13 Januari lalu. – AFP

“Dia berada dalam kedudukan bagus dan begitu fundamental bagi kami,” kata jurulatih Barca, Luis Enrqiue selepas Messi memberikan umpanan kepada Munir el Haddadi bagi membuka jaringan dalam kemenangan Piala Raja Rabu lalu di Espanyol, yang membolehkan pemegang piala itu menempah tempat dalam lapan pasukan terakhir.

“Dia sudah berehat secukupnya ketika cedera dan lebih banyak masa diperlukannya di atas padang sekarang adalah lebih bagus,” tambah bekas pemain midfield Barca dan Sepanyol itu.

Barca, yang beraksi dengan kelebihan satu perlawanan berbanding pesaing utama mereka, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, yang beraksi bersama pasukan Las Palmas di tangga ke-16 awal Ahad ini.

Real Madrid ketinggalan dua mata di tempat ketiga sebelum mereka menghoskan pasukan Sporting Gijon, juga Ahad ini apabila jurulatih baru, Zinedine Zidane akan membimbing pasukan itu bagi kali kedua.

Bekas pemain Real dan Perancis itu, yang menggantikan Rafa Benitez yang telah dipecat, bermula dengan baik dalam kemunculannya hujung minggu lalu dengan kemenangan 5-0 ke atas Deportivo La Coruna.