Messi sumbat gol pada penampilan ke-500

Messi sumbat gol pada penampilan ke-500

MADRID, 31 Dis (AFP) – Lionel Messi melengkapkan penampilan ke-500 bersama Barcelona dengan bergaya apabila menyumbat gol, sekali gus membantu juara Eropah itu merampas kembali kedudukan pendahulu La Liga selepas membenam Real Betis 4-0, awal pagi tadi.

Atletico Madrid menyamai pungutan mata yang diraih Barca dengan 38 mata, namun harus berterima kasih kepada jaringan lewat permainan Angel Correa dan Antoine Griezmann untuk menang 2-0 ke atas Rayo Vallecano.

Selain itu, Cristiano Ronaldo juga bangkit daripada kekecewaan gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan menyumbang dua gol untuk mengurangkan tekanan buat pengurus pasukan, Rafael Benitez dengan kejayaan 3-1 mengatasi Real Sociedad.

“Ia menjadi tahun yang menakjubkan, seperti yang kami mahukan,” kata Messi.

“Cukup sukar untuk tingkatkan kualiti, tetapi kami sentiasa mencuba. Kami memiliki skuad yang agak cukup mantap untuk meneruskan kemenangan.”

Lionel Messi meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. – Reuters
Lionel Messi meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. – Reuters

Heiko Mestermann tertampan ke gawang sendiri untuk gol pendahuluan Barca diikuti ledakan Messi sebelum Luiz Suarez turut menempa nama selaku penjaring dengan menyumbat dua gol.

Di Santiago Bernabeu, Ronaldo segera menebus kecewa, menyumbangkan dua gol sebelum Lucas Vasquez menambah jaringan ketiga manakala gol sagu hati Sociedad dihasilkan Bruma.

“Kami mengawal permainan dan memiliki banyak peluang. Jika ia dapat disempurnakan, kami akan mengharungi babak kedua dengan lebih selesa.

“Tahniah kepada pemain yang mengekalkan sikap positif sepanjang perlawanan. Kami bekerja keras, bertindak balas dan akhirnya memastikan tiga mata,” kata Benitez.

ARTIKEL YANG SAMA