Messi tunai hajat Murtaza

Messi tunai hajat Murtaza

KABUL, 26 Feb (AFP) – Bintang Argentina, Lionel Messi, bukan sahaja menghantar satu, malah menyerahkan dua helai jersinya kepada kanak-kanak Afghanistan berumur 5 tahun yang menjadi sensasi selepas gambarnya memakai beg plastik bertulisan ‘Messi’ menjadi viral di Internet bulan lalu.

Kanak-kanak bertuah itu, Murtaza Ahmadi bersama keluarganya yang berasal dari utara wilayah Ghazni menerima hadiah itu yang disampaikan menerusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menyaksikan bintang sensasi terbabit turut menjadi duta pertubuhan berkenaan.

“Murtaza tidak berhenti tersenyum sambil berulang kali menyebut ‘saya cintakan Messi’,” kata jurucakap UNICEF Afghanistan, Denise Shepherd-Johnson kepada AFP.

Penyerang Barcelona itu menandatangani jersi terbabit sambil menulis dengan penuh rasa cinta dalam bahasa Sepanyol sambil melukis gambar bola sepak ke atas jersi terbabit, kata UNICEF.

Keluarga Murtaza yang miskin sememangnya tidak mampu untuk membeli jersi Messi, dengan keluarga terbabit adalah dalam kalangan etnik minoriti Hazara yang tinggal di Ghazni berdekatan Kabul.

Murtaza menunjukkan baju yang ditandatangani oleh bintang Barcelona, Lionel Messi. – Reuters
Murtaza menunjukkan baju yang ditandatangani oleh bintang Barcelona, Lionel Messi. – Reuters

Abangnya, Homayoun, 15, ‘mencipta’ jersi Messi menggunakan daya kreativitinya dengan menulis nama Messi di atas beg plastik berjalur biru dan putih dengan pen penanda berwarna hitam dan kemudiannya dipos di dalam laman sosial Facebook pertengahan Januari lalu.

Gambar terbabit menyentuh hati semua pencinta bola sepak antarabangsa dan mereka menggelarkan Murtaza sebagai ‘Messi Kecil’ di laman sosial.

Persekutuan Bola Sepak Afghanistan menyatakan bahawa Messi sudah menghubungi mereka untuk mengadakan pertemuan dengan Murtaza secepat mungkin dengan kedutaan Sepanyol di Kabul memberitahu AFP bahawa mereka akan cuba sedaya upaya bagi memastikan pertemuan ini dapat dilangsungkan.

Bagaimanapun, sumber terdekat Messi memaklumkan bahawa mereka belum lagi dapat memastikan atau menafikan pertemuan terbabit boleh diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA