Messi wira Argentina

QUITO, 11 Okt – Lionel Messi menjaringkan hatrik ketika Argentina memastikan tempat mereka di Piala Dunia 2018 dengan kemenangan 3-1 ke atas Ecuador di sini awal pagi tadi.

Bintang Barcelona, Messi menjadi wira menyelamatkan harapan Piala Dunia Argentina, yang menyaksikan gergasi Amerika Selatan itu bangkit untuk menang di Quito.

Romario Ibarra telah memberikan Ecuador kejutan dengan menjaringkan gol pembukaan hanya selepas 38 saat, tetapi Messi menjaringankan dua dalam 20 minit pertama perlawanan bagi memberikan Argentina kelebihan sebelum menambah gol ketiga di separuh masa kedua.

Ia adalah persembahan vintaj Messi, beraksi cemerlang ketika Argentina perlu memadam kebimbangan mengenai prospek juara dunia dua kali itu kegagalan melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan di Rusia.

Argentina memulakan perlawanan dengan teruk, bolos pada minit pertama ketika Ecuador memanfaatkan kelalaian barisan pertahanan pasukan pelawat.

Bintang Argentina, Lionel Messi (tengah) cuba dihalang oleh dua pemain Ecuador dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Quito. Messi menjadi wira Argentina selepas mencipta hatrik dalam kemenangan itu. – AP

Pertahanan Argentina, Javier Mascherano gagal menangani satu hantaran jauh ke depan dari Dario Aimar, yang menanduk bola pada laluan Ibarra.

Ibarra kemudian menanduk tenang kepada rakan sepasukan Roberto Ordones, yang membuat tandukan kembali kepada Ibarra sebelum menewaskan penjaga gol Argentina.

Tetapi ia tidak lama sebelum Messi mula menunjukkan kehebatanya, memimpin pasukannya kembali dalam persaingan itu dengan gol penyamaan pada minit ke-12.

Lapan minit kemudian Messi meletakkan Argentina di depan dengan satu lagi jaringan luar biasa apabila dia mengejar bola terlepas di depan petak, melepasi beberapa orang pemain lawan sebelum meledakkan rembatan kencang.

Messi kemudian melengkapkan hatriknya dengan jaringan terbaik perlawanan itu pada minit ke-62.

Sekali lagi mendapati dirinya diberikan ruang di luar petak penalti Ecuador, di mana Messi melepasi kawalan pertahanan sebelum membuat sepakan lambung dari luar petak untuk menjadikan kedudukan 3-1. – AFP