Messi wira Barcelona

Messi wira Barcelona

MADRID, 14 Sept (Reuters) – Lionel Messi masuk sebagai pemain gantian untuk membantu Barcelona menang 2-1 di Atletico Madrid, manakala Cristiano Ronaldo meledak lima gol ketika pasukannya membelasah Espanyol 6-0 sekali gus muncul penjaring terbanyak Real Madrid dalam saingan La Liga.

Barca memulakan aksi tanpa Messi dan dia hanya dimasukkan pada lewat permainan. Juara bertahan itu ketinggalan di Calderon apabila Fernando Torres menjaringkan gol pada minit ke-51.

Neymar menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila sepakan percuma yang diambilnya menuju tepat ke penjuru kanan gawang tuan rumah dan penyerang Brazil itu sepatutnya menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-67, tetapi rembatannya diselamatkan di atas garisan gol oleh Diego Godin.

Neymar turut terbabit mencipta gol kemenangan apabila dia melorongkan bola kepada Messi yang memperdayakan penjaga gol Jan Oblak ketika permainan berbaki 13 minit.

Messi (tengah) menjaringkan gol semasa menentang Atletico untuk aksi La Liga di stadium Vicente Calderon di Madrid kelmarin. – AFP
Messi (tengah) menjaringkan gol semasa menentang Atletico untuk aksi La Liga di stadium Vicente Calderon di Madrid kelmarin. – AFP

Kemenangan itu mengekalkan rekod sempurna Barca setakat ini dan mereka mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan, tiga mata melebihi juara musim 2013-14, Atletico yang menduduki tangga kelima.

“Kami bermain baik selepas ketinggalan dan kami gembira,” kata Neymar. “Messi adalah pemain terbaik dunia dan selepas dia masuk, semua rakan sepasukan bermain lebih baik.”

Real mengumpul tujuh mata di tempat kedua selepas Ronaldo yang sama seperti Messi apabila gagal menghasilkan gol dalam dua perlawanan sebelum ini, menamatkan kemarau menerusi kaedah terbaik.

Kapten Portugal itu mengumpul 230 jaringan dalam kempen La Liga sekali gus mengatasi catatan yang pernah dilakukan bekas penyerang Real, Raul yang meledak 228 gol.

Bintang berusia 30 tahun yang juga pemenang anugerah FIFA Ballon d’Or itu meledak gol pada minit ketujuh, 17 (penalti), 20, 61 dan 81 manakala Karim Benzema menghasilkan gol pada minit ke-28.

ARTIKEL YANG SAMA