Mesti lulus ujian bau badan

Mesti lulus ujian bau badan

JAKARTA, 15 Nov (AFP) – Syarikat pengendali perkhidmatan teksi motosikal, UberJEK berjanji hanya memilih penunggang yang tidak memiliki bau badan yang busuk.

UberJEK adalah syarikat terbaru menawarkan tempahan teksi motosikal melalui aplikasi telefon pintar yang bakal beroperasi di Jakarta pada tahun depan.

Syarikat itu berjanji hanya mereka yang lulus ujian bau badan bakal dilantik sebagai penunggang motosikal teksi mereka.

Laman sesawang syarikat memaparkan satu gambar seorang pelancong asing sedang mencium ketiak seorang lelaki tempatan.

“Maaf, jika anda mempunyai masalah bau badan, anda tidak boleh menjadi penunggang UberJEK,” kata keterangan gambar itu.

Penunggang yang lulus ujian bau badan sahaja yang akan diambil kerja di syarikat teksi UberJEK.
Penunggang yang lulus ujian bau badan sahaja yang akan diambil kerja di syarikat teksi UberJEK.

Motosikal teksi atau dikenali sebagai Ojek sudah lama menjadi pilihan penduduk di bandar yang terkenal dengan kesesakan jalan raya yang teruk itu.

Pengasas UberJEK, Aris Wahyudi berkata, dia mengambil keputusan memasukkan ujian bau badan dalam proses temu duga selepas menerima banyak aduan daripada pelanggan.

“Ujian ini diadakan demi kepuasan hati pengguna kerana kami menerima banyak aduan mengenai bau badan penunggang,” katanya.

Aris berharap, janji UberJEK mengambil penunggang yang tiada masalah bau badan bakal memberi kelebihan kepada syarikat itu untuk bersaing dalam pasaran yang sengit itu. Terdapat banyak syarikat yang menawarkan aplikasi perkhidmatan motosikal teksi termasuk Ladyjek dan Sister Ojek yang menawarkan penunggang wanita.

ARTIKEL YANG SAMA