Mesyuarat Agung ASTERAWANI 8 Nov

Mesyuarat Agung ASTERAWANI 8 Nov

Oleh Lenna N.B

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) akan mengadakan Mesyuarat Agung 2015 pada 8 November ini, jam 2:45 petang di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama Berakas, yang akan menyaksikan pembubaran jawatankuasa tadbir 2013-2015 dan pelantikan ahli-ahli baru bagi sesi 2015-2017.

Ketua 1 ASTERAWANI, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, ketika ditemui berkata, jawatankuasa tadbir ditukar setiap dua tahun sekali mengikut undian dalam kalangan ahli-ahlinya.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua ahli-ahli ASTERAWANI supaya hadir bagi urusan pengundian.

ASTERAWANI merupakan organisasi kebahasaan dan kesusasteraan yang sudah menjangkau usia lebih 50 tahun sejak penubuhannya pada 13 Jun 1962.

Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Brahim ketika diwawancara.
Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Brahim ketika diwawancara.

Organisasi ini mula didaftarkan secara rasmi pada 9 Julai 1962 oleh para pencinta/penggiat sastera dan penulis tanah air, yang disokong kuat oleh pengasas, penggiat dan pencinta bahasa dan sastera.

Sebagai sebuah pertubuhan bahasa dan sastera, ASTERAWANI ditubuhkan demi menyatukan penulis-penulis tanah air daripada semua peringkat dan golongan untuk membawa ke arah kemajuan, meluaskan pemakaian Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat dan penduduk, bekerjasama dengan persatuan-persatuan bahasa dan sastera yang lain sama ada dalam atau luar negeri, serta menyokong perjuangan Dewan Bahasa dan Pustaka.