Mesyuarat Agung MBDB bulan ini

Mesyuarat Agung MBDB bulan ini

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 7 Jan – Majlis Belia Brunei cawangan Daerah Belait (MBDB) akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya sekitar bulan ini atau selepas menyambut Hari Kebangsaan bagi melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) baru yang akan berusaha meneruskan kerja-kerja yang dilaksanakan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Naib Yang Di-Pertua MBDB, Dr. Haji Azasahibul bin Haji Zainal Abidin (gambar) semasa ditemui hari ini berkata, pelantikan ahli jawatankuasa baru ini akan memberi peluang kepada belia-belia yang berumur 25 tahun ke atas dari persatuan-persatuan serta biro-biro di bawah naungan MBDB untuk dilantik menjadi pemimpin pelapis bagi menggantikan ahli jawatankuasa lama yang mana AJKT sebelum ini akan diserapkan menjadi ahli lembaga penasihat MBDB nanti.

“MBDB akan menulis surat restu dan makluman kepada Pusat MBB (Majlis Belia Brunei), ROS (Registrar Of Society) serta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengenai cadangan bagi mengadakan pelantikan AJKT ini nanti di mana ia dihasratkan akan dapat menarik persatuan-persatuan dan biro-biro di bawah MBDB untuk mengambil tanggungjawab yang besar dan mulia ini bagi meneruskan wawasan MBDB dan juga sebarang projek-projek yang dijalankan,” jelas beliau.

Di samping itu, Dr. Haji Azasahibul juga akan menambah usul bagi MBDB menyediakan infrastruktur dan kemudahan sendiri bagi kemudahan penggunaan belia-belia di daerah ini nanti.

pg07_160108_b

“Selain dari pihak Jabatan Belia dan Sukan yang sudah menyediakan dewan serba guna untuk kemudahan orang ramai, tidak ada bangunan atau dewan sendiri atau Yayasan Belia MBDB yang boleh diguna pakai di daerah ini khas bagi belia-belia persatuan atau biro di bawah naungan MBDB untuk berinteraksi, berkarya, berniaga, berekreasi malah dapat menunjukkan bakat-bakat kreatif dan inovasi mereka pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau juga akan mengutarakan usul bagi mewujudkan sebuah amanah saham belia di mana setiap belia berpeluang untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan belia-belia di negara ini.

“Dari tabungan tersebut, contohnya potongan sedikit peratusan daripada belia-belia yang bekerja, akan dipotong dan dana itu disimpan bagi kegunaan projek-projek seperti menubuhkan sebuah Yayasan Belia dan juga projek-projek MBDB yang lain,” jelas beliau.

Dr. Haji Azasahibul juga menyatakan, di antara topik lain yang akan diketengahkan pada mesyuarat agung itu nanti adalah mengenai dasar dan wawasan MBDB, aktiviti-aktiviti serta perubahan dari segi struktur dan perbincangan mengenai projek-projek yang akan dibawa oleh MBDB serta hala tuju MBDB bagi tiga tahun yang akan datang.

“Bagi tiga tahun akan datang, MBDB bukan hanya akan menyumbang mengikuti perayaan-perayaan seperti Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan, malah MBDB berwawasan untuk menghala tuju ke arah memperjuangkan nasib belia-belia di daerah ini dari segi ekonomi, pendidikan dan keusahawanan, tiga komponen penting yang akan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan belia-belia di sini,” tambah beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA