Mesyuarat AICHR ke-18 bermula di Jakarta esok

Mesyuarat AICHR ke-18 bermula di Jakarta esok

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) – Mesyuarat Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) ke-18 akan berlangsung di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia selama empat hari bermula esok.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata ini merupakan mesyuarat yang ketiga dalam siri mesyuarat AICHR di bawah Kepengerusian Malaysia bagi tahun 2015.

“Mesyuarat ini akan meneruskan perbincangan beberapa agenda termasuk Laporan Tahunan AICHR 2015,” katanya. Turut dalam agenda mesyuarat itu adalah perbincangan mengenai Program Keutamaan AICHR 2016, Pelan Kerja Lima Tahun AICHR (2016-2020) serta perbincangan mengenai beberapa kajian tematik.

Wakil Malaysia ke AICHR dan Pengerusi AICHR Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut juga akan bertindak sebagai persediaan untuk penyerahan beberapa dokumen AICHR kepada Menteri Menteri Luar ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN/PascaPersidangan Peringkat Menteri ke-48 yang akan diadakan dari 1 hingga 6 Ogos, 2015 di Kuala Lumpur.

ARTIKEL YANG SAMA