Mesyuarat bermula

Mesyuarat bermula

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Pegawai-pegawai kanan ASEAN memulakan mesyuarat ke-12 mengenai Jaringan Ujian Makanan Diubahsuai Secara Genetik ASEAN (ASEAN GMF Net) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Mesyuarat selama dua hari itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Sumber-sumber Utama.

Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan pada majlis perasmian mesyuarat tersebut antara lain menyentuh mengenai impak negatif daripada kehadiran produk-produk hasil teknologi makanan yang diubahsuai (GM Technologies), terhadap kepelbagaian bio, kesihatan manusia dan persekitaran dalam jangka panjang.

Jaringan Ujian Makanan Diubahsuai Secara Genetik ASEAN (ASEAN GMF Net) adalah merupakan sebuah kumpulan kerja di bawah ASEAN Senior Officials Meeting of The ASEAN Ministers on Agriculture and Forestry (SOM-AMAF) dan ianya adalah sebagai platform bagi negara-negara ASEAN untuk berkongsi sumber dan kepakaran bagi meningkatkan keupayaan ujian makanan yang diubahsuai secara genetik dengan lebih efisien.

Pegawai-pegawai kanan ASEAN yang menghadiri mesyuarat GMF Net di sini, kelmarin.
Pegawai-pegawai kanan ASEAN yang menghadiri mesyuarat GMF Net di sini, kelmarin.

Antara agenda utama mesyuarat adalah untuk membincangkan perkembangan pelan kerja mengenai Jaringan Ujian GMF ASEAN termasuk status terkini peraturan-peraturan mengenai Organisma-organisma Diubahsuai Secara Genetik (GMOS), keupayaan ujian GMF dan kepakaran di kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Agenda-agenda lain termasuk perbincangan mengenai bidang tugas bagi Jawatankuasa Penyelaras Keselamatan Makanan ASEAN, dan pembentangan laporan dari setiap negara anggota ASEAN.

Brunei Darussalam diwakili oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Pusat penyelidikan dan Pembangunan Sumber-sumber Utama, Bahagian Biosekuriti dan Bahagian Perkhidmatan keselamatan Agrimakanan di bawah Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama dan juga dari Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat ini diharap mencapai hasil yang signifikan yang dapat menyumbang kepada persetujuan negara anggota ASEAN dalam meningkatkan kerjasama dalam jaringan peraturan GMO dan keupayaan ujiannya di peringkat serantau.