Mesyuarat bincang sambutan hari-hari kebesaran Islam

Mesyuarat bincang sambutan hari-hari kebesaran Islam

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Sept – Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1438 Hijrah mengadakan mesyuarat hari ini bertempat di Bilik Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, membincangkan kertas kerja Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara yang akan diadakan sepanjang tahun 1438 Hijrah.

Antaranya ialah Majlis Sambutan Awal Tahun 1438 Hijrah, Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan, Majlis Sambutan Israk dan Mikraj dan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran.

Salah satu agenda yang dibincangkan ialah cadangan tema bagi setiap Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam bagi Tahun 1438H, tarikh dan tempat mengadakan majlis-majlis berkenaan serta acara-acara iringan, lantikan ahli jawatankuasa bertindak, ahli jawatankuasa tertinggi serta ahli jawatankuasa kerja yang akan diadakan bersempena dengan hari-hari kebesaran Islam.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Seperti tahun-tahun sebelumnya hari-hari kebesaran Islam di Negara Brunei Darussalam akan terus disambut secara besar-besaran.

Selain daripada acara-acara keagamaan yang diadakan di peringkat kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan serta di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat seperti bacaan doa awal/akhir tahun, syarahan, forum agama dan sebagainya, sambutan hari-hari kebesaran Islam juga akan disambut dan dirayakan di peringkat negara.

ARTIKEL YANG SAMA