Mesyuarat corak perjalanan MABIMS

Mesyuarat corak perjalanan MABIMS

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) ke-40 bagi negara anggota Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) merupakan pertemuan istimewa kerana anggotanya berpeluang mencorakkan mekanisme perjalanan MABIMS sepanjang lima tahun akan datang melalui perbincangan Pelan Strategik MABIMS 2015 hingga 2019.

Pelan Strategik ini dibentangkan oleh Malaysia manakala Garis Panduan Tatacara kerja Urus setia MABIMS oleh Negara Brunei Darussalam.

“Setentunya daripadanya nanti kita akan dapat melakarkan masyarakat MABIMS yang akan dijelmakan daripada pelan strategik berkenan dengan tatacara kerja yang lebih efisien.”

Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Mohd Yusof ketika berucap mengalu-alukan delegasi MABIMS ke mesyuarat itu di Business Centre, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong hari ini.

Menurutnya lagi, “Bagi Brunei Darussalam, MABIMS telah memberikan banyak manfaat daripada bidang-bidang kerjasama, lebih-lebih lagi dalam usaha negara ini merealisasikan gagasan Negara Zikir dan menjelmakan masyarakat yang hidup berlandaskan syariah Islam.

Gambar ramai delegasi MABIMS.
Gambar ramai delegasi MABIMS.

Beliau turut berharap agar mesyuarat SOM dan MABIMS akan terus melakarkan program-program kerjasama yang menjurus kepada faedah yang mendatangkan manfaat kepada negara masing-masing dan negara anggota MABIMS secara keseluruhannya.

MABIMS yang dianggotai Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam mesyuarat SOM kali ini, membincangkan dan melaporkan tujuh bidang strategik dan tiga bidang khas antaranya ialah ‘Pembangunan Kehidupan Beragama Yang Progresif Melalui Penguatan Syiar Islam dan Dakwah’ oleh Negara Brunei Darussalam dan ‘Pembangunan Potensi Belia Sebagai Generasi Penerus’ oleh Republik Singapura dan ‘Pembasmian Kemiskinan Melalui Pengupayaan Golongan Fakir Miskin’ oleh Malaysia.

Manakala empat lagi bidang akan dibincangkan adalah ‘Peningkatan Sumber Daya Manusia Bersepadu dan Relevan’ oleh Republik Indonesia, ‘Pembangunan Umat Islam di Luar MABIMS melalui Program Sosial dan Kemanusiaan’ oleh Republik Singapura dan Penonjolan Kefahaman dan Amalan Islam di Rantau MABIMS’ dan ‘Peranan MABIMS Ke Dunia Luar’ oleh Malaysia.

Selain daripada itu, sidang mesyuarat juga membincangkan tiga bidang khas antaranya ‘Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam MABIMS’ oleh Republik Indonesia, ‘Pembangunan Halal MABIMS’ oleh Malaysia dan ‘Pengurusan Haji’ oleh Malaysia dengan kertas tambahan ‘Pelaksanaan e-Haji Dalam Pengurusan Haji’ dari Tabung Haji Negara Malaysia.

Dalam mesyuarat yang sama negara-negara anggota telah membentangkan dan membincangkan mengenai Laporan Simposium Pemantapan Pelan Strategik MABIMS Tahun 2015–2019 oleh Malaysia dan Garis  Panduan Tatacara  Kerja  Urus setia  MABIMS  oleh  Negara  Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz sementara itu, perwakilan Republik  Indonesia  diketuai  oleh  Sekretaris  Jeneral Kementerian Agama Republik Indonesia, Prof.  Dr.  Nur  Sham, Malaysia pula diwakili Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan lslam Malaysia, Dato’ Haji Othman Haji Mustapa manakala Republik Singapura diketuai oleh Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura, Tuan Haji Abdul Razak Hassan Maricar.

Terlebih dahulu di sebelah pagi diadakan Seminar Tema Jaminan Pengiktirafan Halal Negara Anggota MABIMS’ yang dibentangkan oleh keempat-empat buah negara dan hasil dapatan resolusi seminar itu telah dibincangkan di dalam agenda Mesyuarat SOM ini.

ARTIKEL YANG SAMA