Mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC bermula Selasa

Mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC bermula Selasa

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Mesyuarat Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang berlangsung selama tiga hari, bermula Selasa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Mesyuarat itu juga sempena undian yang akan diadakan pada Jumaat bagi menentukan bandar raya manakah yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Mesyuarat itu yang kemudian diikuti Persidangan Sesi ke-128 IOC pada Jumaat, menyaksikan delegasi akan mengundi secara rahsia bagi memilih sama ada Beijing, China dan Almaty, Kazakhstan menjadi penganjur Sukan Olimpik itu.

Untuk rekod, pada 7 Julai tahun lepas, Lembaga Eksekutif IOC telah mengumumkan senarai pendek tiga bandar raya iaitu Oslo, Norway; Almaty, Kazakhstan dan Beijing, China bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Namun Oslo telah mengumumkan penarikan diri untuk membida menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Sementara itu, Persidangan Sesi IOC juga akan menentukan penganjur bagi Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2020 iaitu Lausanne, Switzerland dan Brasov, Romania membida untuk menjadi tuan rumah.

Lembaga Eksekutif itu akan menerima status terkini mengenai persediaan bagi penganjuran Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan; Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA