Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-21

Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-21

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-21 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bersama rakan-rakan Dialog ASEAN yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini, di Kuala Lumpur, Malaysia.

Mesyuarat telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Sri Liow Tiong Lai, manakala Setiausaha Pengangkutan dan Perhubungan Filipina, Joseph Emilio Abaya, sebagai Timbalan Pengerusi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, ATM merupakan mesyuarat tahunan dan dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas pengangkutan.

Mesyuarat ini telah membincangkan kerjasama dan inisiatif di bidang pengangkutan serta tahap pencapaian sektor pengangkutan ke arah meningkatkan kesalinghubungan dan dalam mewujudkan sistem pengangkutan yang efisien, selamat dan berdaya tahan yang dapat mendokong integrasi ASEAN serta pencapaian Komuniti Ekonomi ASEAN.

Pencapaian utama ATM termasuk meluluskan Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN (ATSP) 2016-2025 dengan visi ke arah kesalinghubungan, kecekapan, integrasi, keselamatan dan kemapanan pengangkutan ASEAN yang lebih meluas untuk mengukuhkan daya saing ASEAN dan memupuk pertumbuhan dan pembangunan inklusif serantau.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menandatangani Protokol untuk Melaksanakan Pakej Kesembilan Komitmen-komitmen ke atas Perkhidmatan Pengangkutan Udara di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menandatangani Protokol untuk Melaksanakan Pakej Kesembilan Komitmen-komitmen ke atas Perkhidmatan Pengangkutan Udara di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan.

Dokumen ini merupakan kesinambungan kepada Pelan Tindakan Brunei (BAP) 2011-2015 dan akan menjadi panduan kerjasama dalam sektor pengangkutan ASEAN bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Selain daripada itu, beberapa dokumen penting juga diluluskan termasuk ‘Deklarasi ASEAN mengenai Strategi Keselamatan Jalan Raya’ dan ‘Strategi Keselamatan Jalan Raya Serantau ASEAN’.

Sidang menteri juga telah menandatangani Protokol untuk Melaksanakan Pakej Kesembilan Komitmen-komitmen ke atas Perkhidmatan Pengangkutan Udara di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan. Para menteri juga bermesyuarat dengan rakan-rakan dialog China, Jepun dan Republik Korea, di mana mereka menghargai kemajuan yang dicapai dalam kerjasama pengangkutan dengan ketiga-tiga buah negara berkenaan yang akan mengukuhkan lagi hubungan pengangkutan ASEAN.

Selain daripada itu, para menteri pengangkutan ASEAN juga meluluskan pelan kerja bagi tahun 2016 dengan China dan Jepun, serta Strategi Pembangunan Latihan dan Pendidikan Maritim ASEAN-China.

Mesyuarat ATM ke-21 telah didahului dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ke-40, di mana delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA