Mesyuarat MMN ditangguhkan

Mesyuarat MMN ditangguhkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-12 Majlis Mesyuarat Negara hari ini, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan dan akan diumumkan nanti.

Penangguhan tersebut diumumkan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib di Dewan Bangunan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

Sebelum mengumumkan penangguhan itu beliau menyatakan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda supaya ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara akan dapat menyuarakan lagi saranan-saranan atau buah fikiran mengenai cara-cara mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber minyak dan gas.

Katanya, dalam menanai hasrat Baginda itu, pihak ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dilantik telah memberikan pandangan, cadangan dan pendapat yang bernilai.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman (duduk tengah) bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman (duduk tengah) bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

pg03_160323_MMN_Logo

“Daripada cetusan minda tersebut, bagi mana-mana pandangan atau cadangan yang sesuai dan berfaedah, yang boleh diguna pakai oleh kementerian-kementerian yang berkaitan dalam usaha merancang dan menjalankan usaha-usaha kerajaan bagi menangani penurunan hasil kerajaan ini,” Jelas Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman lagi.

Beliau berkata dalam perbincangan yang dijalankan sepanjang Majlis Mesyuarat Negara bersidang selama 13 hari itu, mereka telah berjaya membincangkan pelbagai perkara-perkara yang signifikan, tepat dan berinspirasi dengan tema kewangan 2016/2017 iaitu mengukuhkan iklim perekonomian bagi mendokong pembangunan berterusan.

“Sesi Majlis Mesyuarat Negara melalui peringkat jawatankuasa telah membincangkan, meneliti dan menganalisis belanjawan rang undang-undang sebelum ianya diluluskan untuk menjadi Akta Perbekalan.”

Yang Berhormat Pehin menambah kata, daripada pemerhatiannya sendiri, segala perbincangan, persoalan, cadangan dan respons yang diberikan dipercayai akan membawa hasil yang produktif, kondusif dan konklusif.

Dalam suasana perekonomian dunia yang tidak menentu, Yang Berhormat Pehin berkata Brunei juga tidak terkecuali daripada terjejas disebabkan oleh penurunan harga minyak yang jatuh merudum dan kesannya adalah amat ketara dengan penurunan anggaran hasil dan belanjawan negara bagi 2016 seperti yang digambarkan dalam Akta Perbekalan 2016/2017.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa beliau berkesimpulan tiga perkara iaitu kita harus menjauhi sikap leka atau terus berada dalam ruang selesa kita dan oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus mengambil sikap berbelanja berhemah dengan cara melihat lebih kepada keperluan dan keutamaan.

“Kedua, janganlah kita lalai dan lemah semangat disebabkan kemerosotan ekonomi ini, tetapi anggaplah insiden ini sebagai cubaan dan sepatutnya akan dapat dijadikan sebagai batu loncatan untuk negara agar kita lebih berfikiran terbuka dan ianya dapat mengajar dan melatih kita untuk berfikiran secara ‘di luar kotak.

“Ini termasuklah usaha seperti menerokai peluang-peluang dan juga menceburi bidang-bidang yang membawa kepada perekonomian kita yang belum kita lihat.”

Kesimpulan yang ketiga, jelas Yang Berhormat Pehin, adalah bagi semua pihak untuk bersikap optimistik di samping menanamkan pemikiran realistik.

“Usaha untuk meningkatkan perekonomian negara bukanlah hanya tertumpu kepada suatu pihak sahaja, malah ianya adalah tanggungjawab kita bersama, kalau kita bertepuk di sebelah tangan, maka tidak ada bunyinya yang dapat kita dengar.

“Kita harus meningkatkan lagi integriti kita sebagai satu pasukan dan memberi usaha sepenuhnya secara kolektif.”

Yang Berhormat Pehin menyeru semua pihak untuk mempertimbangkan perkara-perkara berkenaan dan difikirkan demi kepentingan negara, rakyat dan raja yang mengharapkan hasil yang berkesan daripada semua pihak itu.

ARTIKEL YANG SAMA