Mesyuarat MMN...

Mesyuarat MMN XIII bermula 4 Mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) tahun ini akan berlangsung pada 4 Mac 2017 di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama ini akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

MMN kali ini akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib selaku Yang Di-Pertua MMN. Beliau akan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

Persidangan MMN tahun ini akan memasuki usia 13 tahun sejak ia ditubuhkan semula pada tahun 2004 dan tahun ini juga akan menyaksikan ahli MMN yang baru dilantik pada 13 Januari 2017 setelah MMN sebelum ini dibubarkan pada 6 Ogos 2016 setelah tamat tempoh lima tahun.

Ahli MMN terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan, Orang-orang Bergelar, Orang-orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Wakil-wakil Yang Dilantik Dari Daerah-Daerah.

Pada tempoh tahun-tahun MMN bersidang, ia telah banyak membincangkan dan membahaskan isu-isu dan persoalan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Di samping itu juga, persidangan ini amat bermakna bagi Negara Brunei Darussalam dalam usaha kerajaan menyediakan sebuah platform untuk menyuarakan pendapat dan masalah secara bermuzakarah dan muafakat agar persidangan dapat menjadi forum secara sihat dalam mengekalkan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini agar pembangunan negara lebih maju dan kompetitif.

MMN telah ditubuhkan menurut Bab 23 daripada Perlembagaan Negara Brunei 1959 dan ahlinya dilantik menurut Bab 24. MMN telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, ia telah mula bersidang semula. Penubuhan persidangan ini adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sesi persidangan akan diadakan selepas istiadat pembukaan rasmi yang disempurnakan oleh Baginda Sultan atau pada hari serta waktu yang ditetapkan oleh Yang Di-Pertua MMN.

Sesi Persidangan MMN ini terbuka kepada orang awam yang berminat untuk mendengar perbincangan dan perbahasan di dalam dewan. Ia juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada para penuntut atau mahasiswa/mahasiswi mengenai tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di negara ini.

Sehubungan dengan ini, mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadiri Sesi Persidangan MMN diminta untuk mematuhi beberapa peraturan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara untuk masuk ke Dewan MMN termasuklah peraturan-peraturan semasa di dalam dewan.

Pada kebiasaannya, sesi persidangan dibahagikan kepada sesi pagi yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang yang dimulakan pada pukul 2 petang hingga 4:30 petang.

Bagi sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada pihak Urusetia MMN di talian 2384202 /2380501 sambungan 5118.