Mesyuarat parlimen 29 Nov ini

Mesyuarat parlimen 29 Nov ini

BANGKOK, 25 Nov – Presiden parlimen Thailand hari ini berkata badan itu akan mengadakan ‘mesyuarat luar biasa’ pada 29 November, yang meningkatkan spekulasi bersedia untuk mengisytiharkan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn sebagai raja.

Vajiralongkorn dinamakan sebagai pengganti Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada 13 Oktober pada usia 88 tahun, menamatkan pemerintahan selama tujuh dekad.

Kemangkatan ayahandanya mengundang kesedihan yang teramat di negara beraja itu.

Ia juga mengakibatkan Putera Mahkota menangguhkan pengisytiharannya sebagai raja dalam turut bersedih bersama negara, menurut pihak junta yang pada masa ini memimpin negara itu.

Kronologi putera naik takhta adalah suram, dengan para pegawai dan juga orang awam tidak bersedia untuk memulakan perkara itu yang melibatkan pemerintahan beraja, sebuah institusi yang dilindungi oleh undang-undang ketat lese majeste.

Namun menurut konvensyen, kabinet mesti mengemukakan nama raja baru bagi kelulusan parlimen.

Kemudian speaker dewan mesti secara rasmi menjemput Putera Mahkota untuk menjadi raja sebelum mengisytiharkan raja baru kepada orang ramai.

Proses itu nampaknya pasti akan berlaku, selepas pemimpin junta Prayut Chan-O-Cha hari ini memberitahu para pemberita dia akan mempengerusikan pertemuan kabinet pada 29 November dan diikuti dengan mesyuarat Dewan Undangan Kebangsaan (NLA)

Presiden NLA Pompetch Wichitcholchai menyifatkannya sebagai ‘mesyuarat luar biasa’, tetapi menambah kata beliau belum lagi memberikan agenda.

“Ia mungkin tentang undang-undang baru, pengesahan perjanjian atau isu-isu segera yang lain,” beliau memberitahu para pemberita.

Putera Mahkota, yang belum mencapai populariti meluas ayahandanya, banyak menghabiskan masanya di luar negara terutamanya di selatan Jerman.

Raja baru akan hanya diisytiharkan sebaik saja pembakaran jenazah raja sebelumnya dilaksanakan, kerap beberapa bulan kemudian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA