Mesyuarat pengurusan haji tahunan

Mesyuarat pengurusan haji tahunan

ARAB SAUDI, 28 Feb – Bagi menyediakan persiapan dan khidmat layanan khasnya kepada bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1437 Hijrah nanti, satu mesyuarat telah diadakan antara Kementerian Haji Arab Saudi dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam di Jeddah, hari ini.

Mesyuarat Pengurusan Haji Tahunan berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang kini berada di Arab Saudi.

Rombongan KHEU yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin itu disertai sama oleh Kuasa usaha Sementara Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Riyadh, Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd Taib; Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah, Haji Sulaini bin Haji Mohd Said; Pemangku Pengarah Jabatan Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohamad dan wakil Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Haji Abd Nasir bin Haji Bolhassan.

Manakala pihak Kementerian Haji Arab Saudi diketuai oleh Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr. Bandar bin Mohammed bin Hamzah As’ad Al-Hajjar dan disertai oleh Timbalan Menteri Haji Arab Saudi, perwakilan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Kerajaan Arab Saudi serta pihak yang terlibat dalam menyediakan persiapan dan memberikan khidmat layanan kepada jemaah haji.

Rombongan negara diketuai Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menghadiri Mesyuarat Pengurusan Haji di Jeddah, kelmarin.
Rombongan negara diketuai Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menghadiri Mesyuarat Pengurusan Haji di Jeddah, kelmarin.

Dalam permesyuaratan tersebut, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bagi meneruskan kerjasama yang sedia erat dalam hal ehwal urusan haji, penyediaan kemudahan-kemudahan, kebajikan dan keselesaan para jemaah haji Negara Brunei Darussalam sepertimana tahun-tahun yang lalu.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin telah merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kerjasama baik dan layanan khidmat pengurusan pihak Kementerian Haji bagi para jemaah haji khasnya Jemaah haji Negara Brunei Darussalam sepanjang musim haji tahun 1436 Hijrah yang lalu.

Manakala Tuan Yang Terutama Menteri Haji Arab Saudi juga telah merakamkan penghargaan dan sangat berpuas hati dengan kerjasama jemaah haji Negara Brunei Darussalam tahun 1436H dan pihak Pengurusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam sepanjang musim haji tahun lepas.

ARTIKEL YANG SAMA