Mesyuarat Pertama bagi Eksesais ARDEX bermula

Mesyuarat Pertama bagi Eksesais ARDEX bermula

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Sebagai perancangan bagi Eksesais Simulasi Tindak Balas Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) yang akan dianjurkan oleh Negara Brunei Darussalam pada Oktober depan, Mesyuarat Pertama Pasukan Perancang Latihan bagi ARDEX diadakan di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di mana ia berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.

Mesyuarat dianjurkan dan dipengerusikan bersama oleh Negara Brunei Darussalam dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi pembukaan mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.

Turut hadir ialah para delegasi luar negara yang terdiri daripada negara-negara ahli ASEAN, dari Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), Inisiatif Global mengenai Pengurusan Risiko Bencana (GIDRM) dan Agensi Swiss bagi Pembangunan dan Kerjasama.

Mesyuarat turut menyaksikan penglibatan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Kesihatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan jabatan-jabatan daerah.

Haji Mohd ‘Abdoh bersama delegasi dalam dan luar negara yang menyertai mesyuarat pertama perancangan eksesais ARDEX.
Haji Mohd ‘Abdoh bersama delegasi dalam dan luar negara yang menyertai mesyuarat pertama perancangan eksesais ARDEX.

Mesyuarat antara lain telah membincangkan tentang senario bencana termasuk mekanisme dan prosedur pengurusan bencana di peringkat kebangsaan dan serantau yang akan diuji cuba semasa ARDEX nanti.

Secara umumnya, ARDEX merupakan latihan simulasi berskala besar yang menyaksikan penglibatan negara-negara ahli ASEAN dengan tujuan untuk menguji cuba, mengamalkan, mengkaji serta membuat penilaian terhadap mekanisme respons kecemasan dan pengurusan bencana ASEAN.

Selain itu, ARDEX juga memberi peluang kepada sesebuah negara penganjur bagi menguji cuba mekanisme respons kecemasan dan pengurusan di peringkat kebangsaan.

Pemangku Pengarah NDMC, Awang Abdul Rahim bin Haji Ismail ketika ditemu bual Media Permata sejurus sebelum mesyuarat berkata, dalam mesyuarat itu mereka akan membincangkan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) serantau.

Mereka akan menyentuh mengenai mekanisme dan rangka kerja yang membolehkan, contohnya, untuk ASEAN dapat bersama-sama menyelaras bagi membantu Brunei apabila kita memerlukan bantuan daripada mereka ketika senario kes terburuk terjadi, yang menjadi tujuan utama mesyuarat berkenaan.

Menurut beliau, pada dasarnya hari ini, mesyuarat akan lebih kepada pembentangan mengenai SOP Kebangsaan Brunei, dan juga rangka kerja bagi SOP serantau, serta memperkenalkannya kepada SOP Brunei.

Awang Abdul Rahim ketika ditemu bual oleh media.
Awang Abdul Rahim ketika ditemu bual oleh media.
Antara delegasi-delegasi luar negara yang hadir pada majlis itu.
Antara delegasi-delegasi luar negara yang hadir pada majlis itu.

“Kami akan meninjau kepada latihan-latihan, contohnya latihan table top, latihan padang, serta latihan komunikasi, sesuatu yang kami pertingkatkan. Ini termasuklah senario. Kami perlu menyediakan senario yang setaraf.”

Ditanya mengenai atur cara ARDEX itu nanti, Awang Abdul Rahim menjelaskan, “kami akan menjangkakan pameran mengenai keupayaan dari segi apa yang anda boleh bawa masuk ke dalam negara, contohnya apabila anda mengalami bencana, ada terdapat pasukan keselamatan, pesawat, dan sebagainya.

“Oleh yang demikian, nanti kita akan melihat pameran seperti yang dinyatakan tersebut, dari segi keupayaan dan juga logistik ASEAN. Contohnya penyusunan logistik, apabila sesuatu bencana berlaku di sesebuah negara, kita ada simpanan stok (stockpile) di Malaysia, dan kami akan membawanya masuk ke Brunei.”

Bagi mempamerkan sesuatu yang lebih besar di ARDEX akan datang di Brunei, beliau menjelaskan bahawa rakan-rakan negara anggota ASEAN akan menolong Brunei bagi menjayakannya.

Menurut beliau, ARDEX adalah penting untuk negara supaya dapat menunjukkan betapa pentingnya bagi menunjukkan bahawa kita semua perlu bersedia dengan bencana.

“Kita tahu bahawa kita tidak boleh menghentikan bencana daripada berlaku tetapi apa yang perlu kita lakukan adalah untuk bersedia, lebih mapan, dan kita perlu lebih kepada masyarakat juga, bagi menyedari bahawa terdapat perkara-perkara yang masyarakat dan kerajaan boleh lakukan, supaya masyarakat perlu memainkan peranan mereka sendiri dari segi persediaan.”

ARTIKEL YANG SAMA