Mesyuarat pertama petugas khas Labuan capai kejayaan

Mesyuarat pertama petugas khas Labuan capai kejayaan

LABUAN, 2 Sept – Mesyuarat pertama pasukan petugas khas bagi pembangunan Labuan dianggap berjaya apabila pelbagai isu dapat diselesaikan dengan lebih berkesan melalui perbincangan secara menyeluruh.

Mesyuarat dua jam itu, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin, dihadiri ketua-ketua setiausaha kementerian yang berkenaan, beberapa bekas anggota Parlimen Labuan dan ketua UMNO bahagian Labuan serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

Anggota Parlimen Labuan Rozman Isli berkata beberapa isu diselesaikan dengan serta-merta, manakala selebihnya diperhalusi agar dapat memenuhi permintaan pulau ini demi kepentingan rakyat dan pembangunannya pada masa akan datang.

“Mesyuarat itu berjaya, dengan kementerian berkenaan memberi maklum balas positif dan mencari jalan bagi menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat serta pulau ini,” katanya kepada Bernama hari ini. Menurut beliau, perkara paling penting ialah langkah mencergaskan kembali ekonomi Labuan berikutan kemelesetan yang melanda sektor minyak dan gas di pulau ini.

Rozman berkata antara isu yang dibincangkan ialah larangan ketat terbaharu mengenai tindakan membawa keluar kenderaan yang didaftarkan di Labuan dan peraturan bahawa hanya kedai bebas cukai dibenarkan menjual barangan bebas cukai, berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Nov. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA