Meter pintar dilaksana tahun depan

Meter pintar dilaksana tahun depan

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Perancangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk memasang Infrastruktur Permeteran Canggih (AMI) atau meter pintar bagi 8.5 juta pelanggan di negara ini berjalan lancar dengan fasa pertama akan dijalankan bagi pelanggan di Melaka tahun depan.

Kira-kira 300,000 kediaman di negeri itu akan menggantikan meter lama masing-masing kepada meter pintar, sebuah peranti elektronik yang merekodkan penggunaan tenaga elektrik dalam jarak masa sejam atau kurang.

Peranti tersebut juga akan menyalurkan maklumat berkenaan sekurang-kurangnya setiap hari kepada syarikat itu bagi tujuan pemantauan dan bil.

Ketika bercakap kepada pemberita semasa kunjungan suai kenal media TNB di Melaka baru-baru ini, Pengurus Kanan bagi Projek Bil Pintar TNB, Datin Siti Laila Sri Asih S Garieb berkata, melalui pelan meter pintar berkenaan, pelanggan boleh mengakses maklumat mengikut masa sebenar berhubung penggunaan tenaga tidak lama lagi serta memantau corak dan gangguan.

“Peranti ini membolehkan kita memantau penggunaan pelanggan, membantu pelanggan menjimatkan bil elektrik dan mendidik mereka mengenai kesan karbon, jadi ia adalah situasi sama menang,” katanya, dengan menambah meter pintar juga membolehkan hubungan dua hala antara meter dan sistem pusat.

Menurut Siti Laila, penyedia tenaga itu berjaya melaksanakan projek pilot tahun lepas dengan melibatkan 1,000 kediaman (800 di Melaka dan 200 di Putrajaya) menggunakan dana RM9 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan, bagi memahami cabaran teknologi, kawal selia dan pelanggan.

“Ramai yang mungkin menganggap pengguna mewah yang tinggal di banglo atau rumah berkembar sahaja yang berminat dengan teknologi ini, namun kajian kami mendapati mereka yang mendiami rumah teres dan kos rendah turut berminat memiliki alat ini, terutama tuan rumah yang menyewakan kediaman mereka,” katanya.

Beliau berkata dana RM9 juta itu termasuklah infrastruktur, sistem pelaksanaan, sambungan dan penghala komunikasi.

“Selepas Melaka, meter digital kediaman di negeri-negeri lain juga akan ditukar kepada meter pintar tanpa bayaran dikenakan, kami berharap pelaksanaannya di negara ini dapat diselesaikan pada 2021,” katanya tanpa memberitahu jumlah peruntukan yang terlibat.

Teknologi meter pintar berkenaan diimport dari Perancis dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut ABI Research, peneraju dalam perisikan pasaran inovasi teknologi transformasi yang berpangkalan di AS, terdapat 790 juta meter pintar yang akan dipasang di seluruh dunia pada 2020.

Negara yang telah melaksanakan penggunaan meter pintar ini termasuk Itali dengan pemasangan 30 juta, Jepun (12 juta), Arab Saudi (12 juta) dan Sweden (5.2 juta).

ARTIKEL YANG SAMA