Meterai bina kilang minyak sawit di Sukau

Meterai bina kilang minyak sawit di Sukau

SANDAKAN, 5 Mei (Bernama) – Felcra Berhad, Koperasi Sukau Kinabatangan Berhad (Kosuk) dan Winsome Harvest Palm Oil Mill Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membina sebuah kilang minyak sawit di Sukau, Kinabatangan.

Felcra diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Dr Baharum Mohamed, Kosuk diwakili Pengerusinya Azhari Rangon dan Winsome Harvest oleh Pengurus Besarnya Tan Kem Yang.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Pengerusi Felcra Berhad yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin.

Pada sidang media, Bung Moktar berkata menerusi MoU tersebut, Felcra dan Kosuk, masing-masing memegang ekuiti sebanyak 20 peratus manakala baki 60 peratus oleh Winsome Harvest.Beliau berkata pembinaan kilang sawit dengan kos RM60 juta itu dibina di tanah milik Kosuk di Sukau berkeluasan 40.4 hektar.

Katanya kilang sawit itu mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan minyak sawit mentah sebanyak 60 tan sehari dan pembinaannya akan dimulakan pada tahun ini yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Pembinaan kilang ini akan memberi impak ekonomi bukan sahaja kepada penduduk di Sukau tetapi juga kepada penduduk di kampung Bilit, Sentosa Jaya, Bukit Garam dan Batu Putih.

“Kawasan ini dipenuhi dengan pekebun kecil dan mereka boleh memasarkan buah kelapa sawit secara terus ke kilang ini dengan harga yang wajar,” katanya.

Bung Moktar berkata pembinaan kilang minyak sawit itu merupakan antara usaha transformasi dan tanggungjawab sosial agensi itu untuk membantu masyarakat menjana ekonomi.

Katanya Felcra juga telah membelanjakan RM25 juta untuk membina 100 buah rumah di Sukau melalui Kosuk untuk ahli koperasi itu yang membabitkan pembayaran balik sebanyak RM12.3 juta kepada Felcra.

“Melalui pegangan ekuiti sebanyak 20 peratus, Kosuk dijangka menerima RM750,000 setahun dan pendapatan ini boleh digunakan untuk membayar balik kos membina rumah tersebut kepada Felcra,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA