Meterai kerjasama ekonomi

Meterai kerjasama ekonomi

PRAGUE, 29 Mac (AFP) – Presiden China, Xi Jinping menandatangani kerjasama strategik penting bersama rakan sejawatannya di Prague hari ini di tengah gelombang baru bantahan di bandar Czech ke atas dasar Beijing terhadap Tibet.

Lawatan pertama dari ketua negara China ke Republik Czech telah dibayangi bantahan kumpulan hak asasi kemanusiaan dan ahli politik pembangkang yang mengkritik dasar China di Tibet.

Presiden Czech Milos Zeman, yang menganggap kunjungan itu peluang untuk merangsang perdagangan dengan ekonomi kedua terbesar di dunia itu, mengumumkan pelabur-pelabur China akan menyalurkan 95 bilion koruna (AS$3.93 bilion) ke atas negara Eropah tengah itu pada 2016 sahaja.

Namun pengumuman itu gagal untuk mendiamkan pengkritik China.

Kelmarin, Zeman menghoskan presiden China di kediaman rasminya, tempat di mana kedua-duanya menanam pokok gingko, memegang penyiram yang memaparkan bendera negara masing-masing.

Xi Jinping (kiri) berjabat tangan dengan Milos Zeman pada 29 Mac, di Prague. – AFP
Xi Jinping (kiri) berjabat tangan dengan Milos Zeman pada 29 Mac, di Prague. – AFP

Hari ini, kedua-dua pemimpin menandatangani kerjasama strategik, dengan Zeman mengatakan dia mahu Republik Czech menjadi tempat ‘perlindungan selamat’ bagi pelaburan China dalam EU.

Xi mengatakan persetujuan itu memberi ‘arah politik’ bagi pembangunan hubungan bilateral masa depan.

Kumpulan CEF China, dalam kalangan 10 syarikat swasta terkenal di negara itu, baru-baru ini membelanjakan sekitar 20 bilion koruna untuk memperoleh saham dalam penerbangan Czech, sebuah kilang minuman, dua kumpulan media dan sebuah pasukan bola sepak terkenal.

Zeman mengatakan pembuat kereta Czech, Skoda Auto, sebuah unit Volkswagen, Jerman juga akan melabur 60 bilion koruna di China dalam masa lima tahun akan datang.

Selepas mengunjungi Prague, Xi akan berkunjung ke Amerika Syarikat untuk menghadiri sidang kemuncak keselamatan nuklear yang bermula pada Khamis.

ARTIKEL YANG SAMA